SEBAHAGIAN peserta program mempelajari pelbagai kemahiran mengenai perisian dan perkakasan telefon bimbit.
SEBAHAGIAN peserta program mempelajari pelbagai kemahiran mengenai perisian dan perkakasan telefon bimbit.
Oleh Suliati Asri


HSBC Bank Malaysia bersama Yayasan Inovasi Malaysia (YIM) dan U4U menganjurkan Program MyMobiFix - Bootcamp, kelas Pembaikan Telefon Pintar bertujuan memberi peluang golongan belia B40 menjana pendapatan melalui kemahiran yang ada.

Program MyMobiFix - Bootcamp adalah hasil sumbangan RM500,000 oleh HSBC Bank Malaysia untuk meningkatkan kemahiran 170 peserta belia terdiri daripada komuniti kurang mendapat perkhidmatan dan terpinggir seperti B40.

Ketua Pegawai Eksekutif HSBC Amanah, Raja Amir Raja Azwa berkata, kemajuan dalam teknologi digital dan Covid-19 dengan pantas mengubah cara bekerja, kehidupan serta menjejaskan kewangan dan mata pencarian rakyat.

Justeru, katanya HSBC komited membina kemahiran masa depan untuk pelanggan, pekerja dan orang ramai dalam komuniti yang mempunyai kehadiran jenama berkenaan.

"Melalui perkongsian kami dengan institusi seperti YIM, kami menyasar membangunkan generasi bebas dari segi ekonomi dan keusahawanan yang dilengkapi pelbagai kemahiran penting untuk berkembang maju dalam dunia moden.

"Kami juga menghargai usaha Yayasan Inovasi Malaysia atas inisiatif berimpak tinggi ini dan menantikan kisah inspirasi peserta selepas program ini selesai," katanya.

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif YIM, Sharmila Mohamed Salleh berkata, fasa pertama program MyMobiFix yang berakhir baru-baru ini menyediakan peserta dengan kemahiran dan pengetahuan khusus supaya mereka memperoleh pekerjaan atau kemahiran keusahawanan dalam bidang pembaikan telefon pintar bagi meraih pendapatan.

"MyMobiFix ini berupaya mengurangkan kadar pengangguran belia B40 dengan memperoleh kemahiran baharu bagi menjana pendapatan di samping membantu pekerja ekonomi gig yang terkesan dengan wabak Covid-19.

"Program ini menggalakkan pendidikan berkualiti dan menyokong peluang pembelajaran sepanjang hayat untuk komuniti yang kurang mendapat perkhidmatan dan terpinggir," katanya.

Program ini terbahagi kepada tiga fasa iaitu yang pertama diadakan selama enam hari membabitkan 50 belia merangkumi latihan di peringkat asas hingga lanjutan untuk mendapat pengetahuan antaranya mengenai perisian dan perkakasan telefon bimbit, menukar bahagian dan komponen, membaiki kerosakan perkakasan dan perisian.

Selepas mengakhiri fasa satu, 20 belia berprestasi tinggi berpeluang menyertai fasa kedua dalam program Train-the-Trainer.

Program tiga hari itu melatih peserta menjadi jurulatih junior sambil menguasai kemahiran khusus teknikal yang memfokuskan perisian dan perkakasan.

Dalam fasa ketiga, 20 jurulatih junior terbabit kemudian melatih 120 belia daripada empat komuniti projek perumahan rakyat (PPR) dalam bengkel empat hari mengenai pembaikan asas telefon pintar dan cara memulakan perusahaan yang prihatin terhadap kesan sosial dan alam sekitar kerana pelupusan telefon pintar menjadi kesan buruk bahan buangan elektronik atau e-waste.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 19 November 2021 @ 6:15 AM