BERNAMA

Kuala Lumpur: Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) Malaysia mencatatkan penyusutan 3.4 peratus pada suku keempat 2020 dalam keadaan peningkatan ketara kes jangkitan Covid-19, sekali gus menjadikan prestasi keseluruhan tahun kepada -5.6 peratus berikutan perintah sekatan dan penutupan sempadan di peringkat global.

Sektor pembuatan menjadi penyumbang utama ekonomi pada suku keempat 2020 apabila mencatatkan pertumbuhan positif manakala perkhidmatan, perladangan dan perlombongan masing-masing mengalami penguncupan.

Ketua Perangkawan, Jabatan Perangkaan Malaysia, Datuk Seri Dr Mohd Uzir Mahidin berkata, kali terakhir KDNK tahunan negara mencatatkan kemerosotan pada 2009 dengan -1.5 peratus dan prestasi tahunan 2020 adalah penyusutan kedua terbesar selepas 1998 pada -7.4 peratus akibat Krisis Kewangan Asia.

DR Mohd Uzir
DR Mohd Uzir

Bercakap pada sidang media pengumuman prestasi KDNK suku keempat 2020 semalam, beliau berkata, pertumbuhan lebih perlahan pada suku berkenaan disebabkan terutama oleh sekatan pergerakan yang lebih ketat selain gangguan bekalan komoditi.

"Bagaimanapun, ia diimbangi pertumbuhan berterusan dari segi permintaan luaran," katanya.

Pertumbuhan ekonomi pada 2020 adalah sedikit lebih rendah berbanding dengan unjuran awal Bank Negara Malaysia (BNM) iaitu di antara -3.5 peratus dengan -5.5 peratus.

  • Lagi berita berkaitan Perintah Kawalan Pergerakan
  • Lagi berita berkaitan Covid-19
  • Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 12 Februari 2021 @ 7:00 AM