Bayaran fasa kedua BPN 2.0 akan dipercepatkan.
Bayaran fasa kedua BPN 2.0 akan dipercepatkan.
Bisnes Metro

Kuala Lumpur: Bayaran fasa kedua Bantuan Prihatin Nasional 2.0 (BPN 2.0) akan dipercepatkan dengan bayaran paling awal dibuat pada 21 Januari ini.

Menteri Kewangan, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz berkata, berikutan pelaksanaan pelbagai jenis Perintah Kawalan Pergerakan (PKP, PKP Bersyarat dan PKP Pemulihan), Kementerian Kewangan akan mempercepat bayaran fasa kedua BPN 2.0 kepada 11.06 juta penerima merangkumi 10.6 juta penerima BPN sedia ada, serta sekitar 460,000 penerima baharu.

"Penerima baharu itu adalah permohonan yang diluluskan pada tempoh permohonan/rayuan dibuka pada 15 Oktober hingga 15 November 2020 lalu.

"Semakan kelulusan boleh dibuat mulai 15 Januari 2021 di portal rasmi BPN iaitu https://bpn.hasil.gov.my," katanya dalam kenyataan, semalam.

Untuk golongan B40, bayaran akan dikreditkan terus ke dalam akaun bank pada 21 Januari ini, diikuti M40 pada 25 Januari.

Bagi penerima tanpa akaun, bayaran akan disalurkan melalui cawangan Bank Simpanan Nasional (BSN) pada 25 Januari.

Bagi penerima di Sabah dan Sarawak tanpa akaun bank, bayaran akan diterima mulai awal Februari hingga 1 April 2021 di lokasi yang bakal diumumkan pada akhir Januari.

BPN 2.0 adalah sebahagian daripada Kerangka Inisiatif Tambahan, Pakej Rangsangan Ekonomi Prihatin Rakyat (Kita Prihatin) bernilai RM10 bilion yang diumumkan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin pada 23 September 2020.

Inisiatif BPN 2.0 disalurkan melalui dua fasa pembayaran, iaitu pada Oktober 2020 dan Januari 2021.

"Secara keseluruhanya, jumlah penerima BPN 2.0 merangkumi 11.06 juta penerima (5.82 juta individu bujang dan 5.24 juta penerima isi rumah) dengan jumlah bayaran RM7.18 billion setakat ini.

"Kerajaan komited untuk memastikan bantuan yang diperuntukkan sampai kepada mereka yang disasarkan bagi menjamin kesejahteraan rakyat," katanya.

  • Lagi berita berkaitan Perintah Kawalan Pergerakan
  • Lagi berita berkaitan Covid-19
  • Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 14 January 2021 @ 7:01 AM