PENIAGA kasut terpakai, Hasbi Sidek menyusun pelbagai jenis sepatu yang akan dijual kepada orang ramai ketika tinjauan di kedainya di Lavender Height, Seremban. MIDF Research mengunjurkan pertumbuhan ekonomi Malaysia untuk kembali pulih dan berkembang sebanyak tujuh peratus pada tahun ini.
PENIAGA kasut terpakai, Hasbi Sidek menyusun pelbagai jenis sepatu yang akan dijual kepada orang ramai ketika tinjauan di kedainya di Lavender Height, Seremban. MIDF Research mengunjurkan pertumbuhan ekonomi Malaysia untuk kembali pulih dan berkembang sebanyak tujuh peratus pada tahun ini.

Kerajaan melihat ruang untuk meneroka beberapa peluang dalam tempoh terdekat bagi memastikan Malaysia terus berada di landasan tepat dalam melonjakkan ekonomi.

Menteri Kewangan, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz berkata, jelas terdapat keperluan untuk Malaysia menyusun semula beberapa pengaturan institusi negara, menerokai peranan syarikat berkaitan kerajaan (GLC) dan syarikat pelaburan berkaitan kerajaan (GLIC) dalam pembangunan negara.

Selain itu, terdapat ruang untuk mempertingkat kemampuan pertanian dan perladangan menerusi teknologi agro, kepelbagaian tanaman, dan pembangunan industri hiliran.

Menurutnya, negara juga mempunyai peluang untuk meningkatkan kemampuan dalam teknologi hijau, termasuk pembuatan panel solar dan pembinaan lestari, mengukuhkan kedudukan sebagai perintis di dalam sektor kewangan Islam dan pasaran halal global yang bernilai AS$1.4 trilion (RM5.65 trilion) yang mana dalam hal itu, Malaysia boleh mempertimbangkan penggunaan teknologi seperti blockchain sebagai teknologi pengesan untuk produk makanan dan minuman halal.

"Malaysia juga belum meneroka sektor teknologi kewangan (fintech) sepenuhnya dan dalam hal berkenaan, Bank Negara Malaysia (BNM) baru-baru ini menerbitkan dokumen dasar mengenai perbankan digital.

"Terdapat pelbagai sektor yang boleh dipacu di dalam norma baharu, contohnya teknologi pendidikan (edutech), mobiliti dan kecerdasan buatan (AI).

"Di samping itu, pelaburan yang mencerminkan tanggungjawab sosial dan ke arah ekonomi kitaran adalah peluang yang perlu dimanfaatkan," katanya dalam ucapannya pada Hari Korporat Tahunan Maya CGS-CIMB 2021 Ke-13, semalam.

Tengku Zafrul berkata, kerajaan sentiasa mengalu-alukan idea baharu daripada semua pihak untuk memudahcara pelaburan di dalam sektor sedia ada dan baharu demi melonjakkan perniagaan dan ekonomi negara.

Katanya, kerajaan melaksanakan empat langkah untuk memangkinkan ekonomi negara dalam mengimbangi keperluan semasa dan masa depan iaitu dengan mengembangkan kedudukan fiskal untuk jangka masa pendek, mengukuhkan penjanaan hasil negara, melaksanakan projek berskala besar dan Rancangan Malaysia Ke-12 (RMKe-12).

Tengku Zafrul berkata, kerajaan turut mengambil langkah yang pertama kali dilaksanakan dalam sejarah melalui penubuhan Majlis Pekerjaan Negara.

"Kerajaan menyasarkan menjana 500,000 pekerjaan tahun ini yang juga antara agenda utama Belanjawan 2021.

"Selain daripada peruntukan RM3.7 bilion di bawah inisiatif JanaKerja yang termasuk insentif pengambilan pekerjaan, ia juga antara lain bertujuan meningkatkan kemahiran dan latihan semula serta peluang pekerjaan di dalam sektor awam dan GLC," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 8 January 2021 @ 7:00 AM