FOTO HIASAN
FOTO HIASAN
BERNAMA

Kuala Lumpur: Seramai 2,546 peserta telah berjaya ditempatkan di sektor awam dan syarikat berkaitan kerajaan (GLC) melalui program Malaysia Short-term Employment Programme (MySTEP) setakat 17 Mac 2022.

Menteri Kewangan Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz berkata, daripada jumlah tersebut seramai 1,833 orang pekerja telah ditempatkan di sektor awam sementara 713 orang pekerja pula berjaya ditempatkan di GLC dan rakan strategik mereka.

"Di bawah Bajet 2022, MySTEP menawarkan 80,000 peluang pekerjaan secara kontrak merangkumi 50,000 pekerjaan dalam sektor awam dan 30,000 pekerjaan dalam GLC dan rakan-rakan strategik mulai Januari 2022," katanya dalam Laporan Kewangan Rakyat yang dikeluarkan hari ini.

Tengku Zafrul berkata sejak program MySTEP mula dilaksanakan pada Januari 2021, permohonan telah ditempatkan di pelbagai kementerian dan agensi seperti Kementerian Kewangan, Kementerian Pengajian Tinggi, Suruhanjaya Perkhidmatan Awam dan Suruhanjaya Pencegah Rasuah Malaysia.

Bagi GLC pula, permohonan ditempatkan di organisasi seperti PETRONAS, Permodalan Nasional Berhad, Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) dan Khazanah Nasional, katanya.

Pada 2021, MySTEP telah berjaya mencapai sasaran keseluruhan 50,000 peluang pekerjaan bagi tahun tersebut dengan menempatkan seramai 63,221 orang pekerja, yang mana daripada jumlah itu seramai 41,680 orang ditempatkan di sektor awam manakala 21,541 orang ditempatkan di GLC dan rakan strategik mereka.

"Kementerian Kewangan juga menyediakan portal MySTEP bagi menambah baik proses permohonan dan pengambilan pekerja di pihak sektor awam dan GLC. Portal ini dilancarkan secara rasmi pada Majlis Pelancaran JaminKerja yang berlangsung pada 19 Februari lepas.

"Mereka yang berminat untuk bekerja di sektor awam atau GLC hanya perlu memohon serta memuat naik resume melalui portal tersebut," katanya.

Sementara itu, setakat 15 Mac 2022, Tengku Zafrul berkata insentif penggajian melalui inisiatif Insentif Penggajian JaminKerja dengan usaha sama Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO) telah berjaya menempatkan 42,014 pekerja.

Usaha itu, katanya, akan mewujudkan 300,000 peluang pekerjaan baharu dan mengurangkan pengangguran dalam kalangan pekerja warganegara Malaysia.

"Kerajaan melalui Perkeso akan meneruskan usaha pengambilan pekerja melalui inisiatif Insentif Penggajian JaminKerja dengan peruntukan sejumlah RM2 billion bagi 2022.

"Insentif yang diberikan adalah sebanyak 20 peratus daripada gaji bulanan bagi tempoh enam bulan pertama dan 30 peratus bagi enam bulan berikutnya tertakluk kepada pekerjaan bergaji RM1,500 ke atas," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 17 Mac 2022 @ 7:20 PM