Hazwan Faisal Mohamad


AIRASIA Group Bhd menjangkakan 'situasi terburuk' sudah berakhir dan kumpulan penerbangan itu berpeluang untuk kembali mencatat keuntungan pada tahun hadapan.

Ia selepas syarikat penerbangan tambang rendah terbesar Asia itu merekodkan kerugian terbesarnya pada tahun ini susulan sekatan perjalanan dan penutup sempadan negara ekoran penularan Covid-19.

Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan AirAsia, Tan Sri Tony Fernandes berkata, jangkaan itu disandarkan kepada permintaan kukuh daripada penerbangan domestiknya, penstrukturan kos yang telah dilaksanakan dan perniagaan baharunya.

"Saya fikir situasi buruk telah berakhir, namun untuk kembali kepada seperti tahun 2019, saya merasakan akan mengambil masa lagi setahun. Untuk tahun 2021, saya fikir kami mempunyai peluang untuk kembali untung, keadaannya ialah 50-50. Tetapi untuk tahun ini peluangnya ialah sifar.

"Melihat kepada permintaan kukuh daripada penerbangan domestik yang mana kami menambah 32 laluan baharu tahun ini, kemungkinan sempadan negara akan dibuka semula serta pelaksanaan penstrukturan kos yang telah dibuat sebelum ini.

"Ini semua akan menjadi pendorong dan peluang kepada kumpulan untuk mencatat keuntungan pada tahun depan," katanya selepas mengadakan lawatan ke Balai Berita NSTP, di Jalan Riong, di Kuala Lumpur, hari ini.

Terdahulu Tony mengadakan pertemuan hampir sejam dengan ketiga-tiga Pengarang Kumpulan akhbar di bawah NSTP iaitu Pengarang Kumpulan BH, Saidon Idris; Pengarang Kumpulan New Straits Times, Ahmad Lokman Mansor dan Pengarang Kumpulan Harian Metro, Husain Jahit.

TONY (empat kiri) menyerahkan makanan daripada Air Asia Food kepada Ahmad Lokman (tiga kiri), Saidon Idris (dua kiri) dan Husain (lima kiri) di Balai Berita. FOTO Eizairi Shamsudin
TONY (empat kiri) menyerahkan makanan daripada Air Asia Food kepada Ahmad Lokman (tiga kiri), Saidon Idris (dua kiri) dan Husain (lima kiri) di Balai Berita. FOTO Eizairi Shamsudin

AirAsia Group merekodkan kerugian sebelum cukai sebanyak RM3.347 bilion bagi tempoh sembilan bulan berakhir 30 September 2020, berbanding kerugian sebelum cukai RM317.29 juta pada tempoh sama tahun lalu.

Mengulas lanjut Tony berkata, antara perkara utama yang mahu dilakukan kumpulan itu selepas ia berjaya mencatat keuntungan ialah untuk mengambil semula pekerjanya yang telah dihentikan sebelum ini kembali bekerja.

"Mereka semua tidak membuat apa-apa silap, malahan semuanya adalah kakitangan yang bagus terhadap AirAsia. Selain itu, saya juga akan pastikan tiada lagi pembuangan pekerja akan dilakukan selepas ini," katanya.

AirAsia Bhd dan AirAsia X Bhd telah memberhentikan 10 peratus daripada keseluruhan 24,000 tenaga kerjanya setakat ini.

Dalam pada itu Tony berkata, kumpulan merancang untuk mengembangkan kehadiran perkhidmatan penghantaran makanan mereka, airasia.com, ke 70 bandar di ASEAN pada suku pertama tahun depan.

"Ketika ini, perkhidmatan ini hanya bertumpu di Lembah Klang dengan purata 1,000 penghantaran makanan dibuat setiap hari. Ini masih jauh dibandingkan dengan pesaing yang menghantar lebih 55,000 makanan setiap hari.

"Saya harap pada suku pertama tahun depan, jumlah ini dapat ditingkatkan ke 10,000 penghantaran makanan sehari," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 22 Disember 2020 @ 5:28 PM
TONY mengayuh basikal untuk menghantar makanan di Balai Berita. FOTO Eizairi Shamsudin
TONY mengayuh basikal untuk menghantar makanan di Balai Berita. FOTO Eizairi Shamsudin
TONY mengayuh basikal untuk menghantar makanan daripada AirAsia Food. FOTO Eizairi Shamsudin
TONY mengayuh basikal untuk menghantar makanan daripada AirAsia Food. FOTO Eizairi Shamsudin