Sri Ayu Kartika Amri


AIRASIA akan memperluas tawaran AirAsia Deals, pakej gaya hidupnya ke seluruh Malaysia, Singapura dan Thailand menjelang tahun depan.

Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan AirAsia, Tan Sri Tony Fernandes berkata, AirAsia kini bukan lagi sekadar syarikat penerbangan sebaliknya turut menawarkan produk dan perkhidmatan dalam perjalanan, gaya hidup, logistik dan kewangan.

Katanya, setakat ini terdapat lebih 100 rakan dagang AirAsia Deals yang menawarkan pelbagai promosi bagi makanan dan minuman (F&B), kecantikan dan perkhidmatan pada harga yang sangat menarik.

“Sebelum ini, AirAsia telah meneroka segmen F&B menerusi pembukaan cawangan restoran Santan dan terbaharu platform perjalanan dan gaya hidup AirAsia, airasia.com melancarkan AirAsia Deals.

“Kami akan menambah lebih banyak rakan dagang pada masa akan datang sekali gus memberi lebih banyak pilihan kepada orang ramai bukan saja di Kuala Lumpur tetapi di seluruh negara,” katanya kepada media selepas pelancaran AirAsia Deals, semalam.

Hadir sama, Ketua Pegawai Eksekutif airasia.com, Karen Chan.

Sempena pelancaran itu, airasia.com menawarkan promosi 24 jam pada harga RM1 bermula 18 Disember 2019 untuk pembelian Tawaran AirAsia Deals.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 18 Disember 2019 @ 8:47 AM