SUHAIMI (tengah) bersama Pengurus Besar Pembangunan Wilayah Tengah PKNS, Mohd Muhidin Faharuddin (kiri) dan Pengurus Besar Pembangunan Wilayah Utara PKNS, Azilah Arshad selepas mengadakan sidang media, semalam.
SUHAIMI (tengah) bersama Pengurus Besar Pembangunan Wilayah Tengah PKNS, Mohd Muhidin Faharuddin (kiri) dan Pengurus Besar Pembangunan Wilayah Utara PKNS, Azilah Arshad selepas mengadakan sidang media, semalam.
Bisnes hmetro

PERBADANAN Kemajuan Negeri Selangor (PKNS) menyasarkan 27 unit kediaman terjual menerusi kempen promosi 48 jam Mesti Beli Akhir Tahun 2020 membabitkan nilai jualan RM17.3 juta.

Ketua Pegawai Operasi PKNS, Suhaimi Kasdon berkata, promosi pada 19 dan 20 Disember ini membabitkan 25 projek hartanahnya di negeri ini dengan tawaran diskaun sehingga 20 peratus.

Katanya, promosi istimewa selama dua hari itu adalah kempen 48 jam Mesti Beli siri ketujuh dan yang terakhir bagi tahun ini.

"Kempen promosi ini adalah siri yang istimewa kerana PKNS turut menyenaraikan tiga projek perumahan baharu iaitu Puteri Aira di Kota Puteri Rawang, Saira di Pelabuhan Klang dan Residensi Aurora di Cyberjaya untuk dijual.

"Selain diskaun pembelian sehingga 20 peratus, PKNS juga mengecualikan bayaran yuran guaman Perjanjian Jual Beli dan duti setem selain tawaran pakej hiasan dalaman serta baucar smart home bernilai lebih RM15,000," katanya pada sidang media, semalam.

Menurutnya, promosi berkenaan juga menawarkan banyak pilihan kepada pembeli membabitkan pelbagai jenis kediaman antaranya rumah berkembar dua tingkat, pangsapuri eksklusif serta rumah berkembar tiga tingkat yang dijual pada harga bermula RM440,000 hingga RM900,000.

Katanya, kempen berkenaan dilihat berjaya apabila PKNS mampu mencapai nilai jualan RM58.6 juta hasil enam siri yang diadakan bermula Nov 2019 hingga September lalu.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 17 Disember 2020 @ 7:20 AM