DARI kiri, Kam Leong, Gokhan dan Cheong Tatt pada majlis pelancaran tujuan jenama baharu Maxis.
DARI kiri, Kam Leong, Gokhan dan Cheong Tatt pada majlis pelancaran tujuan jenama baharu Maxis.

SEIRING sambutan Hari Kemerdekaan Ke-63 serta ulang tahun ke-25nya pada bulan ini, Maxis Berhad (Maxis) melancarkan tujuan jenama baharunya dikenali sebagai Terus Menerajui, yang menyediakan pelbagai program digitalisasi dan tawaran menarik buat pengguna.

Ketua Pegawai Eksekutifnya, Gokhan Ogut berkata, pelancaran itu dibuat sebagai pengiktirafan terhadap masa lampau Maxis bersama Malaysia dalam membawa rakyat, perniagaan dan negara menyusuri era teknologi yang berkembang pesat.

Menurutnya, beberapa siri program digitalisasi bersempena pelancaran itu bakal dimulakan tidak lama lagi yang direka khusus untuk individu dan perniagaan.

"Semangat Terus Menerajui berkisarkan mengenai perubahan, pertumbuhan, penemuan dan penyelesaian baharu melalui teknologi.

"Dengan tujuan jenama baharu ini yang tampil bersama nilai dan identiti korporat baharu yang didokong warga Maxis, ia memacu kami ke arah visi untuk menjadi peneraju penyelesaian bersepadu terkemuka di Malaysia," katanya pada majlis pelancaran Tujuan Jenama Baharu Maxis yang dilakukan secara maya menerusi penstriman langsung bersama media, semalam.

Ia disertai Ketua Jenama dan Pemasaran Maxis, Tai Kam Leong dan Ketua Pengurusan Komersial dan Pengalaman Pelanggan Syarikat Maxis, Tan Cheong Tatt.

Mengulas lanjut, Gokhan menjelaskan, Maxis komited mengupayakan semua rakyat Malaysia baik individu mahupun perniagaan ke arah digitalisasi sehingga mereka mampu menerajui teknologi itu.

"Ini adalah waktu kritikal untuk kekuatan teknologi dimanfaatkan dalam era normal baharu, oleh itu tujuh program utama disusun untuk merancakkan lagi usaha digitalisasi syarikat.

"Antara siri program diatur termasuk kursus Digital 101 Untuk Perusahaan Kecil dan Sederhana (PKS) kendalian Maxis Business untuk membimbing PKS mikro menguasai pemasaran digital dan e-dagang melalui bengkel maya.

"Selain itu, keselamatan siber menerusi Maxis e-Kelas akan dilaksanakan di mana ia program keselamatan siber dan pembelajaran maya untuk pelajar e-Kelas di sekolah serta 82 pusat internet di seluruh negara," katanya.

Bagi tawaran istimewa pula kata Gokhan, ganjaran bernilai RM25,000 dengan lebih 200 tawaran dalam aplikasi termasuk Lazada, Malaysia Airlines dan Firefly serta Tesco menanti semua pelanggan Maxis dan Hotlink sehingga 18 September depan.

"Telefon pintar terkini termasuk Samsung Note 20 5G, Huawei P40 5G dan iPhone 11 pada harga RM25 untuk 25 hari turut ditawarkan kepada semua pelanggan baik bagi pelan individu mahupun perniagaan bermula 25 Ogos nanti.

"Kita menggalakkan pelanggan memanfaatkan tawaran yang disediakan ini khusus sempena ulang tahun kami dan Hari Kemerdekaan," katanya.

Pelancaran turut menyaksikan tayangan filem perdana yang mempamerkan tujuan jenama baharu selain video nostalgia pencapaian Maxis sepanjang 25 tahun di Malaysia.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 19 Ogos 2020 @ 7:30 AM