KERAJAAN akan memberi tumpuan kepada usaha mempermudah akses bantuan untuk golongan yang mudah terjejas.
KERAJAAN akan memberi tumpuan kepada usaha mempermudah akses bantuan untuk golongan yang mudah terjejas.
Oleh Syarifah Dayana Syed Bakri


Kuala Lumpur: Kerajaan akan merangka langkah komprehensif dan menyeluruh di bawah Belanjawan 2021 melalui hasil dapatan Kaji Selidik Prihatin yang dijalankan antara 19 Ogos dan 22 September lalu.

Menteri Kewangan, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz berkata, antara dapatan yang akan diberi pertimbangan merangkumi beberapa perkara termasuk meningkatkan sokongan bagi perkhidmatan kesihatan mental serta menambah peluang pekerjaan.

Selain itu, ia juga memberi tumpuan dalam mempermudah akses bantuan untuk golongan mudah terjejas seperti warga emas, memperkasakan peranan syarikat berkaitan kerajaan dalam menyokong komuniti serta meningkatkan peranan Perusahaan Sosial.

"Kerajaan sedar masih ada ruang untuk penambahbaikan dan akan sentiasa memberi yang terbaik buat rakyat, perniagaan dan ekonomi," katanya ketika membentangkan Laporan Laksana ke-25 Pelaksanaan Pakej Rangsangan Ekonomi Prihatin Rakyat (Prihatin) dan Pelan Jana Semula Ekonomi Negara (Penjana) menerusi laman sosial Facebooknya, semalam.

Menurutnya, Unit Pelaksanaan Dan Koordinasi Stimulus Ekonomi Antara Agensi Nasional (Laksana) menjalankan Kaji Selidik Prihatin untuk mendapatkan maklum balas orang ramai mengenai impak pelaksanaan Pakej Prihatin kepada mereka.

"Ini juga antara usaha kerajaan untuk mendengar suara rakyat secara berterusan dan hasil dapatan Kaji Selidik Prihatin akan digunakan bagi merangka usaha pemulihan ekonomi, termasuk Belanjawan 2021 yang bakal diumumkan November ini," katanya.

Menurutnya, lebih 11,000 responden menyertai kaji selidik itu termasuk sesi turun padang yang dilaksanakan oleh pasukan Laksana ke lebih 10 lokasi seluruh negara.

Beliau berkata, sesi turun padang itu meliputi kumpulan sasar yang dikategorikan sebagai 'menghadapi masalah' merentasi golongan pendapatan B40, M40 dan T20.

"Ini termasuk individu yang menganggur, bekerja sendiri atau pemilik perniagaan dan usahawan," katanya.

Dari segi kepuasan pelaksanaan Prihatin, antara dapatan utama kaji selidik itu adalah lebih 80 peratus responden berpuas hati dengan pakej Prihatin.

"Daripada jumlah ini, 55 peratus menyatakan tahap kepuasan yang tinggi dan 26 peratus tahap kepuasan yang biasa," katanya.

Katanya, tiga bantuan utama yang diterima atau dimanfaatkan responden adalah Bantuan Prihatin Nasional (BPN) serta Bantuan Sara Hidup (BSH), Internet percuma dan diskaun elektrik.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 15 Oktober 2020 @ 3:22 PM