AirAsia menasihatkan penumpang yang bakal membuat perjalanan penting untuk mematuhi Prosedur Operasi Standard (SOP) yang ditetapkan kerajaan.
AirAsia menasihatkan penumpang yang bakal membuat perjalanan penting untuk mematuhi Prosedur Operasi Standard (SOP) yang ditetapkan kerajaan.
Bisnes HM


Kuala Lumpur: AirAsia melanjutkan tempoh sah Akaun Kredit kepada tiga tahun dari tarikh kredit untuk semua penumpang yang mempunyai akaun kredit sah yang dikreditkan sebelum 30 Jun 2021.

Semua Akaun Kredit yang dikreditkan sebelum tarikh 30 Jun kini telah dilanjutkan secara automatik.

Tempoh lanjut ini hanya sah untuk tempahan dalam talian yang dibuat melalui airasia.com atau airasia Super App.

Untuk tempahan berkumpulan atau yang dibuat melalui ejen pelancongan, penumpang boleh merujuk kepada ejen tempahan masing-masing untuk maklumat selanjutnya.

Ketua Pegawai Bahagian Kebahagiaan Pelanggan Airasia Group, Adam Geneave berkata, pihaknya sentiasa mengutamakan keperluan penumpang dan memahami bahawa rancangan perjalanan mereka mungkin telah berubah mengikut keadaan semasa.

"Oleh itu, kami berbesar hati untuk melanjutkan tempoh sah Akaun Kredit hingga tiga tahun di samping menawarkan fleksibiliti kepada mereka untuk membuat tempahan masa hadapan pada bila-bila masa, untuk mana-mana destinasi dan penerbangan pilihan mereka yang dikendalikan oleh AirAsia termasuklah pada waktu puncak.

"Akaun Kredit ini juga boleh digunakan untuk membayar elaun bagasi, pemilihan tempat duduk, tempahan hidangan dalam penerbangan, insurans, cukai dan fi kerajaan serta perkhidmatan pilihan lain.

"Selain itu, Akaun Kredit ini juga tidak terhad kepada penumpang yang membuat tempahan asal dan boleh digunakan untuk membayar penerbangan penumpang lain," katanya dalam kenyataan hari ini.

Menurutnya, AirAsia juga ingin menasihatkan penumpang yang bakal membuat perjalanan penting untuk mematuhi Prosedur Operasi Standard (SOP) yang ditetapkan kerajaan, memeriksa semua keperluan perjalanan dan mengamalkan tahap kebersihan diri yang tinggi setiap masa.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 23 Julai 2021 @ 1:04 PM