15 negara anggota dijangka membincangkan isu tertunggak. FOTO - AFP
15 negara anggota dijangka membincangkan isu tertunggak. FOTO - AFP
Sri Ayu Kartika Amri


PERUNDINGAN Perkongsian Ekonomi Komprehensif Serantau (RCEP) akan diteruskan pada Mesyuarat Peringkat Menteri Antara Sesi ke-10 yang akan berlangsung secara maya hari ini.

Menteri Kanan merangkap Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri (Miti) Datuk Seri Mohamed Azmin Ali akan mengetuai delegasi pada perundingan RCEP bersama-sama 14 negara peserta lain.

Ia terdiri daripada negara anggota Asia Tenggara (Asean) dan lima rakan kongsi Asean FTA iaitu Jepun, Korea, China, Australia dan New Zealand.

Miti menerusi kenyataan berkata, tahap perundingan semasa adalah tonggak penting ke arah jangkaan untuk menandatangani Perjanjian RCEP menjelang akhir tahun ini.

"Menteri Ekonomi dan Perdagangan 15 negara anggota dijangka membincangkan isu tertunggak bagi membolehkan perjanjian itu dimuktamadkan.

"Perjanjian RCEP, sebaik sahaja selesai, diharap dapat menjadi perjanjian perdagangan bebas serantau terbesar dunia dari segi sumbangan keluaran dalam negara kasar kepada ekonomi dunia dan penduduk," katanya.

Menurut kenyataan itu, penting bagi Malaysia untuk menyokong dan bekerjasama dengan negara peserta RCEP lain ke arah mencapai penyelesaian perundingan dan seterusnya menandatangani Perjanjian RCEP.

Ia berikutan ketidakstabilan ekonomi global dengan pergeseran perdagangan dan penularan pandemik Covid-19.

Katanya, Miti secara konsisten sudah berinteraksi dengan beberapa pihak berkepentingan termasuk industri, pertubuhan masyarakat dan ahli Parlimen dalam memajukan kedudukan Malaysia dalam rundingan berkenaan.

"Mohamed Azmin akan berkongsi dan menyatakan pandangan Malaysia mengenai kemajuan RCEP.

"Untuk mencapai tujuan ini, kerajaan berusaha mempromosikan perdagangan bebas dan adil dan pada masa yang sama menyeimbangkan kepentingan pihak berkepentingan dalam negara," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 23 Jun 2020 @ 6:05 AM