GAMBAR HIASAN
GAMBAR HIASAN
Bisnes HM


BANK Negara Malaysia (BNM) mengumumkan beberapa langkah pengawalan dan penyeliaan untuk menyokong usaha institusi perbankan membantu individu, perusahaan kecil dan sederhana (PKS) serta syarikat korporat menangani kesan akibat wabak Covid-19.

BNM dalam kenyataan hari ini berkata, langkah itu bertujuan membolehkan institusi perbankan kekal fokus terhadap usaha menyokong ekonomi yang sedang menghadapi keadaan luar biasa dan tidak pernah dialami sebelum ini menerusi penyediaan fleksibiliti untuk institusi perbankan bertindak balas dengan pantas terhadap keperluan pelanggan mereka.

“Institusi perbankan berada pada kedudukan kukuh untuk berbuat demikian memandangkan adanya penampan kewangan besar yang telah terkumpul sejak sekian lama,” katanya.

Antara langkah yang disediakan adalah penangguhan dan penstrukturan semula kemudahan pinjaman/ pembiayaan kepada individu dan PKS.

“Bagi membantu aliran tunai individu dan PKS yang berkemungkinan paling terjejas akibat Covid-19, institusi perbankan akan menawarkan penangguhan kepada semua pembayaran balik pinjaman/pembiayaan untuk tempoh enam bulan, berkuat kuasa 1 April 2020.

“Tawaran ini diberikan kepada pinjaman/pembiayaan dalam denominasi Ringgit yang mempunyai rekod pembayaran baik serta tidak mempunyai tunggakan selama lebih daripada 90 hari setakat 1 April 2020,” katanya.

Bagi kemudahan kad kredit, institusi perbankan akan menawarkan penukaran baki terkumpul kepada pinjaman bertempoh tiga tahun dengan kadar faedah lebih rendah bagi membantu peminjam mengurus hutang mereka dengan lebih baik.

“Bagaimanapun, faedah/keuntungan akan terus terakru (diambil kira) atas pembayaran balik pinjaman/pembiayaan yang tertangguh dan peminjam perlu meneruskan pembayaran balik pinjaman/pembiayaan yang tertangguh pada masa hadapan.

“Oleh yang demikian, peminjam perlu memahami perkara ini dan berbincang dengan institusi perbankan masing-masing mengenai pilihan yang ada apabila menyambung semula jadual pembayaran balik pinjaman/pembiayaan mereka selepas tempoh penangguhan.

“Individu dan PKS yang tidak mahu atau tidak perlu menggunakan kemudahan ini boleh meneruskan pembayaran balik mereka seperti biasa mengikut struktur sedia ada,” katanya.

BNM berkata, institusi perbankan juga akan memudahkan permohonan syarikat korporat untuk menangguhkan atau menstrukturkan semula pembayaran balik pinjaman/pembiayaan dengan cara yang membolehkan syarikat berdaya maju mengekalkan pekerja dan menyambung semula aktiviti ekonomi dengan cepat apabila keadaan menjadi bertambah baik.

“Syarikat korporat perlu menghubungi institusi perbankan mereka untuk membincangkan pelan pembayaran balik dan penstrukturan semula kemudahan kredit yang diambil.

“Malah, BNM telah menyediakan fleksibiliti bertempoh masa yang bersesuaian untuk institusi perbankan melaporkan penangguhan/penstrukturan semula kemudahan dalam Sistem Maklumat Rujukan Kredit Pusat (CCRIS), dengan mengambil kira gangguan bersifat sementara yang dihadapi oleh peminjam/pelanggan institusi perbankan,” katanya.

  • Lagi berita berkaitan perintah kawalan pergerakan

  • Lagi berita berkaitan Covid-19
  • Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 25 Mac 2020 @ 1:50 PM