MINUMAN lassi berasaskan kelapa sawit adalah produk inovatif baharu yang boleh digunakan oleh PKS.
MINUMAN lassi berasaskan kelapa sawit adalah produk inovatif baharu yang boleh digunakan oleh PKS.
HM Bisnes

LEMBAGA Minyak Sawit Malaysia (MPOB) membangunkan produk minuman lassi berasaskan kelapa sawit yang berpotensi tinggi untuk dikomersialkan.

MPOB dalam kenyataan berkata, ia adalah produk inovatif baharu yang boleh digunakan oleh perusahaan kecil dan sederhana (PKS).

Aktiviti penyelidikan dan pembangunan (R&D) MPOB itu diketuai Nur Haqim Ismai.

“Penyelidik MPOB membangunkan produk minuman lassi berasaskan kelapa sawit yang berpotensi tinggi dikomersialkan oleh syarikat Malaysia, terutama PKS.

“Produk itu dicipta terutama untuk minuman kesihatan. Secara tradisinya, lassi, minuman yang berasal dari India, dibuat dengan menggunakan susu kerbau atau lembu dengan bakteria asid laktik.

“Lassi berasaskan sawit adalah sejenis minuman baharu dengan potensi komersial yang tinggi di pasaran tempatan. Ia dihasilkan melalui pengasidan langsung dan kurang memakan masa berbanding kaedah penapaian konvensional,” katanya.

Penyelidik MPOB mendapati penggantian lemak susu dengan minyak kelapa sawit menghasilkan lassi yang lebih sihat kerana kandungannya tidak mengandungi kolesterol dan lemak trans.

MPOB berkata, syarikat Malaysia boleh memanfaatkan peluang ini kerana ia masih tidak tersedia atau ada di pasaran.

“Oleh itu, ia mempunyai potensi besar untuk dikomersialkan di pasaran, dengan harga kompetitif serta penerimaan keseluruhan yang lebih baik berbanding lassi komersial,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 7 Mac 2020 @ 9:08 AM