KESELURUHAN prestasi membuktikan PKS berada dalam landasan tepat bagi mencapai sasaran sumbangan 41 peratus kepada KDNK menjelang 2020. FOTO Hazreen Mohamad
KESELURUHAN prestasi membuktikan PKS berada dalam landasan tepat bagi mencapai sasaran sumbangan 41 peratus kepada KDNK menjelang 2020. FOTO Hazreen Mohamad
Sofyan Rizal Ishak


PERUSAHAAN kecil sederhana (PKS) tempatan mencatatkan sumbangan lebih tinggi kepada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) keseluruhan bagi tahun lalu iaitu 38.3 peratus kepada RM521.7 bilion berbanding 37.8 peratus (RM491.2 bilion) pada 2017.

SME Corp Malaysia berkata, data terbaharu yang dikeluarkan Jabatan Perangkaan Malaysia menunjukkan PKS mencatatkan pertumbuhan sebanyak 6.2 peratus pada 2018 berbanding 7.1 peratus pada 2017.

Menurutnya, pertumbuhan itu adalah peningkatan berbanding purata pertumbuhan jangka panjang sebanyak enam peratus bagi tempoh 2001 hingga 2017.

“Pertumbuhan KDNK PKS juga terus mengatasi pertumbuhan KDNK keseluruhan iaitu sebanyak 4.7 peratus pada 2018 berbanding 5.7 peratus pada 2017.

“Keseluruhan prestasi ini membuktikan PKS berada dalam landasan tepat bagi mencapai sasaran sumbangan 41 peratus kepada KDNK menjelang 2020 sejajar dengan Dasar Keusahawanan Nasional 2030 (DKN 2030) yang dilancarkan oleh Kementerian Pembangunan Usahawan (MED), baru-baru ini,” katanya dalam kenyataan di Kuala Lumpur, hari ini.

Data Jabatan Perangkaan Malaysia juga menunjukkan sektor perkhidmatan dan pembuatan terus menjadi penyumbang utama dengan gabungan sumbangan sebanyak 82.4 peratus pada 2018.

Nilai ditambah PKS dalam sektor perkhidmatan mencatatkan pertumbuhan yang kukuh iaitu sebanyak 8.1 peratus tahun lalu iaitu berada pada kadar tertinggi sejak 2014.

Untuk sektor pembuatan, nilai ditambah PKS berkembang sebanyak 5.5 peratus pada tahun lalu berbanding 6.8 yang dicatatkan pada 2017 dipacu produk mineral bukan logam, logam asas dan produk logam yang direka serta produk petroleum, kimia, getah dan plastik.

SME Corp Malaysia berkata, PKS menunjukkan daya tahan yang kukuh dari segi eksport dengan mencatatkan pertumbuhan sebanyak 3.4 peratus pada 2018 berbanding 7.2 peratus pada 2017 meskipun pertumbuhan syarikat besar perlahan dengan ketara sebanyak 3.6 peratus pada 2018 berbanding 17 peratus pada 2017.

Dari segi nilai, eksport PKS meningkat kepada RM171.9 bilion pada 2018 daripada RM166.2 bilion pada 2017, manakala sumbangan kepada eksport keseluruhan kekal pada 17.3 peratus iaitu jumlah sama seperti 2017.

“Momentum pertumbuhan eksport disokong oleh PKS dalam sektor pembuatan terutamanya dalam barangan pembuatan dan produk kimia.

“Eksport PKS akan diberi fokus dalam DKN 2030 dan strategi khas akan dibangunkan untuk memperkukuhkan kapasiti dan keupayaan eksport PKS,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 31 Julai 2019 @ 6:57 PM