GAMBAR HIASAN
GAMBAR HIASAN
Nabil Basaruddin


CIMB Group Holdings Berhad (CIMB) dan PLUS Malaysia Berhad (PLUS) mencapai kata sepakat untuk menyediakan pilihan pembayaran tambahan kepada pengguna Lebuh Raya Utara-Selatan merentasi seluruh negara.

Perkhidmatan pembayaran tol yang dipertingkatkan itu akan dilaksanakan oleh Touch ‘n Go Sdn Bhd (TNG) menerusi tag TNG sistem pengenalan frekuensi radio (RFID).

Sebagai permulaan, perkhidmatan TNG RFID akan dibuka di 10 plaza tol sistem terbuka di Lebuh Raya Utara-Selatan pada 1 Januari 2020 manakala, servis TNG RFID untuk semua 83 plaza tol sistem tertutup pula akan bermula pada 1 April 2020.

Plaza tol sistem terbuka dikelaskan sebagai sistem di mana tambang tol adalah kadar tetap berdasarkan kelas kenderaan.

Bagi sistem tertutup pula adalah untuk kenderaan yang masuk ke lebuh raya dan kadar tol berdasarkan kelas kenderaan serta jarak perjalanan sebaik keluar dari lebuh raya.

Usaha sama itu memberikan lebih banyak pilihan kepada pengguna lebuh raya berkenaan dengan hanya menghubungkan tag TNG RFID terus kepada mana-mana bank akaun, kad kredit, kad debit atau e-dompet TNG.

Malah, CIMB dan TNG juga mempunyai harapan dapat melaksanakan kemudahan pembayaran terbuka itu untuk semua syarikat konsesi lebuh raya di seluruh negara pada masa akan datang.

Dari semasa ke semasa, mod pembayaran yang dipacu oleh RFID itu dijangka mengantikan penggunaan kad TNG yang menjadi kaedah pembayaran ‘defacto’ bagi semua transaksi tol seluruh negara.

Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan CIMB, Tengku Datuk Seri Zafrul Aziz berkata, pihaknya teruja untuk bekerjasama dengan PLUS dalam menerajui inisiatif yang penting ini.

“Pendemokrasian dalam pembayaran tol adalah sesuatu yang kami juarai sepenuhnya serta membuktikan komitmen untuk bekerjasama dengan PLUS.

“Pada masa sama, kami berharap syarikat konsesi lebuh raya lain untuk melaksanakan pembayaran terbuka dapat menjadi realiti yang dapat dimanfaatkan oleh semua rakyat Malaysia,” katanya dalam kenyataan di Kuala Lumpur, hari ini.

Sementara itu, Pengarah Urusan PLUS, Datuk Azman Ismail berkata, menjadi keutamaan di PLUS untuk memberi pelanggan lebih banyak pilihan pembayaran yang menjadi aspek penting dalam meningkatkan pengalaman di lebuh raya.

“Kami turut teruja CIMB turut mempunyai cita-cita untuk bekerjasama dengan PLUS dalam menjadikan perjalanan lebih lancar di Lebuh Raya Utara-Selatan.

“Pendemokrasian pembayaran tol dari semasa ke semasa di mana mod pembayaran lain boleh digunakan adalah untuk memastikan industri tol di negara ini sentiasa relevan selari dengan amalan pasaran,” katanya.

Transaksi RFID adalah mengikut masa sebenar kerana pengguna lebuh raya akan menerima notifikasi serta-merta mengenai baki yang ditolak apabila melalui plaza tol.

Program berkenaan diselaras dan diwujudkan dengan kerjasama Kementerian Pengangkutan, Kementerian Kerja Raya dan Lembaga Lebuhraya Malaysia yang mana ia tidak akan memberi gangguan kepada kad sedia ada, SmartTAG atau PayDirect.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 11 November 2019 @ 7:08 PM