TEKNOLOGI Radio Frequency Identification (RFID) di 62 plaza tol dan lebuh raya sistem tol terbuka bagi kenderaan kelas 1 mulai 1 Januari 2020. FOTO Mahzir Mat Isa
TEKNOLOGI Radio Frequency Identification (RFID) di 62 plaza tol dan lebuh raya sistem tol terbuka bagi kenderaan kelas 1 mulai 1 Januari 2020. FOTO Mahzir Mat Isa
Nabil Basaruddin


PENGGUNA lebuh raya kini boleh menggunakan Teknologi Radio Frequency Identification (RFID) di 62 plaza tol dan lebuh raya sistem tol terbuka bagi kenderaan kelas 1 mulai 1 Januari 2020.

Malah, pelaksanaan kutipan tol secara RFID ini adalah langkah awal ke arah pelaksanaan Sistem Kutipan Tol Tanpa Henti di lebuh raya di mana ia adalah aspirasi kerajaan dalam meningkatkan kualiti perkhidmatan bayaran tol di masa hadapan.

Menteri Kerja Raya, Baru Bian berkata, pengumuman pelaksanaan kutipan tol menerusi teknologi RFID adalah salah satu pilihan mod pembayaran secara elektronik pada tahun depan.

“Sistem RFID adalah mod pembayaran elektronik terkini yang diperkenalkan di lebuh raya di samping mod pembayaran sedia ada iaitu melalui kad Touch ‘n Go dan SmartTAG.

“Pembayaran tol secara RFID ini dijangka dapat melancarkan aliran trafik di lorong tol memandangkan pengguna tidak lagi perlu berhenti untuk menyentuh kad di reader,” katanya dalam kenyataan, di Kuala Lumpur, hari ini.

Baru berkata, pengguna juga dapat menikmati banyak faedah seperti dapat membuat transaksi bayaran tol dengan lebih mudah dan lebih selesa serta tiada kos penyelenggaraan memandangkan pelekat RFID tidak memerlukan bateri.

Katanya, tambah nilai pula boleh dibuat secara dalam talian manakala,

pelekat RFID ditampalkan pada kenderaan dan tidak mudah hilang.

“Ia juga mengurangkan isu operasi sedia ada membabitkan pengguna seperti lewat meletakkan peranti SmartTAG atau diletakkan secara terbalik dan bateri lemah,” katanya.

Pelaksanaan ujian rintis RFID diadakan di plaza-plaza tol terpilih mulai 2018 dan telah mendapat maklum balas yang positif daripada pengguna lebuh raya.

Sehingga kini, jumlah pengguna RFID telah mencecah lebih dari 830,000 orang pengguna.

Dalam pada sama, pihak kementerian turut menasihatkan pengguna lebuh raya yang mempunyai pelekat RFID untuk memastikan e-dompet mempunyai baki mencukupi sebelum memasuki lebuh raya bagi menikmati perjalanan yang lancar dan selesa.

Antara lebuh raya yang terbabit adalah seperti Lebuhraya Utara Selatan (PLUS), Lebuhraya Laluan Kedua Malaysia-Singapura (LINKEDUA), Lebuhraya Shah Alam (KESAS), Lebuhraya Cheras-Kajang (GRANDSAGA), Lebuhraya Damansara – Puchong (LDP), Lebuhraya KL-Kara (KLK) dan Lebuhraya Lingkaran Kajang (SILK).

Pengguna lebuh raya yang ingin mendapatkan pelekat RFID boleh berbuat demikian di 130 Fitment Centres iaitu 18 Fitment Centres Touch ‘n Go dan 112 Fitment Centres bergerak.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 23 Disember 2019 @ 12:49 PM