DATUK Seri Syed Zainal Abidin Syed Mohd Tahir. FOTO Asyraf Hamzah
DATUK Seri Syed Zainal Abidin Syed Mohd Tahir. FOTO Asyraf Hamzah
Bisnes HM


SEMUA stesen minyak Petronas di seluruh negara kini membekalkan bahan api RON 95 gred Euro 4M iaitu lebih awal dari tarikh yang diwartakan kerajaan pada 1 Januari 2020.

Pengarah Urusan merangkap Ketua Pegawai Eksekutif Petronas Dagangan Bhd (PDB), Datuk Seri Syed Zainal Abidin Syed Mohd Tahir berkata, spesifikasi bahan api baharu itu hanya mengandungi 50 bahagian bagi setiap sejuta sulfur yang juga 10 kali lebih rendah daripada standard Euro 2M bagi petrol RON 95.

“Kandungan bahan benzena turut dikurangkan sebanyak 30 peratus kepada 3.5 peratus manakala, tekanan wap juga rendah sebanyak 7.0 peratus kepada 65 kilopascal, sekali gus menjadikan bahan api itu bersih untuk enjin serta alam sekitar,” katanya dalam kenyataan di Kuala Lumpur, hari ini.

Menurutnya, langkah peningkatan bahan api RON 95 kepada standard Euro 4M di semua stesen minyak Petronas telah dilaksanakan sejak awal Disember ini.

“Menerusi langkah ini, pelanggan kami tidak hanya menikmati pemanduan lebih lancar dan responsif, tetapi turut menggunakan bahan api lebih bersih yang sesuai dengan kenderaan moden hari ini bagi mengurangkan pencemaran udara. Ini turut memberi manfaat dari segi kesihatan dan iklim.

“Oleh itu, Petronas Primax 95 dengan Pro-Drive ini adalah bagus untuk enjin serta alam sekitar,” katanya.

Untuk maklumat lanjut mengenai Petronas Primax dengan Pro-Drive yang menepati pematuhan Euro 4M, layari www.mymesra.com.my.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 24 Disember 2019 @ 7:43 PM