RANGER Splash Edisi Terhad.
RANGER Splash Edisi Terhad.
Mohamad Fahd Rahmat

HANYA 19 unit Ford Ranger Splash Edisi Terhad ditawarkan secara eksklusif melalui platform e-dagang Lazada pada 11 November 2019 (esok) sempena ‘Lazada 11.11 Shopping Festival’.

Ford Ranger Splash bukanlah varian baharu bagi pasaran Malaysia yang mana pernah diperkenalkan penghujung 1990-an.

Pengenalannya memulakan budaya trak pikap gaya hidup dalam kalangan pengguna tempatan.

Pada masa itu, trak pikap masih dilihat sebagai kenderaan pelbagai guna untuk komersial dan Ford mengambil langkah berani lebih fokus kepada aspek keselamatan dan keselesaan.

Untuk menjadikan Ranger sebagai alternatif kepada versatiliti dan kebolehan umpama sebuah kereta, Ford menghasilkan varian Splash pada masa itu, varian pertama dengan warna kuning, dan varian terkini serba hitam.

Pengarah Urusan Sime Darby Auto ConneXion (SDAC) sebagai pengedar utama kenderaan Ford di negara ini, Syed Ahmad Muzri Syed Faiz berkata, Ranger Splash bakal menjadi trak pikap pertama di Malaysia dijual hanya melalui platform e-dagang.

PENAMPILAN serba hitam.
PENAMPILAN serba hitam.

“Model itu dipamerkan di bilik pameran Ford Petaling Jaya 2 SDAC, satu-satunya lokasi ia dipamer sebelum dijual.

“Kaedah pembelian oleh pengguna sudah bertukar secara dramatik dalam beberapa tahun kebelakangan ini.

“E-dagang semakin sebati dengan kehidupan seharian pembeli malah mereka boleh membeli kenderaan secara dalam talian,” katanya.

Ranger Splash dilengkapi kangaroo bar hitam, gril hadapan istimewa, penutup cermin sisi, bampar belakang, sports bar, roda aloi dan dapra lebar.

Untuk kemudahan dan keselamatan pemanduan, Ranger Splash dipasang sistem bayaran tol elektronik dan sistem kamera 360 darjah.

KAMERA 360 darjah.
KAMERA 360 darjah.

Pelekat logo Ranger Splash dengan warna ‘fluorescent’ terang melengkapi sisi trak pikap terbabit untuk menghasilkan reka bentuk agresif, sesuai dengan tema edisi terhadnya.

Ranger Splash dikuasakan enjin diesel 2.0L Single-Turbo dan dipadankan dengan transmisi 10-kelajuan automatik.

Ranger Splash mampu menghasilkan 180 PS dan tork maksimum 420 Nm.

Ford turut memastikan Ranger Splash diberikan ciri-ciri keselamatan pintar dan praktikal.

Malah, antara ciri-ciri terbabit yang pertama boleh didapati dalam sebuah trak pikap.

Kelengkapan seperti Pengangkat Pintu But (Easy Lift Tailgate), sistem kemasukan tanpa kunci dan butang penghidup enjin, stereng bantuan kuasa elektrik (EPAS) dan lampu DRL jenis LED digabungkan dengan lampu hadapan jenis HID menjadikan Ranger Splash lebih mesra pengguna.

PERANTI Smart Tag binaan dalam.
PERANTI Smart Tag binaan dalam.

Sistem hiburan berinformasi Ranger Splash merangkumi skrin sesentuh 8-inci menggunakan sistem operasi SYNC 3 yang mampu berhubung dengan aplikasi Apple CarPlay dan Android Auto.

Ia juga mempunyai perhubungan Bluetooth, membolehkan anda menggunakan telefon pintar supaya perjalanan lebih selesa.

Ford Ranger Splash Edisi Terhad dijual pada harga RM138,888 dan boleh ditempah awal melalui fungsi ‘Chup Dulu’ menerusi aplikasi Lazada.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 10 November 2019 @ 6:30 AM