IAN
IAN
Syarifah Dayana Syed Bakri dan Sofyan Rizal Ishak


KUALA LUMPUR: Barangan kesihatan, cecair pencuci pinggan mangkuk, serbuk pencuci baju, malah baucar makanan menjadi antara produk menjadi rebutan pelanggan pada jualan 11.11 tahun ini.

Ia turut menyaksikan sedikit perbezaan berbanding trend tahun lalu di mana jumlah pelanggan lelaki dan mereka yang berusia lebih 50 tahun memilih untuk membeli produk yang diinginkan pada jualan 11.11.

Shopee, platform e-dagang terkemuka di Asia Tenggara dan Taiwan, menyifatkan jualan 11.11 tahun ini sebagai acara terbesar pernah dikendalikan.

Ia mencatatkan rekod baru termasuk 70 juta barangan dijual pada 11 November dan tiga kali lebih banyak pesanan dicatat pada jam pertama berbanding 2018.

Jenama berprestasi tinggi merekodkan purata peningkatan 5,659 kali dalam lawatan dan pertumbuhan 740 kali dalam pesanan, manakala aktiviti beli-belah memuncak sekitar jam 12.10 tengah hari kerana kempen berlangsung pada hari bekerja.

Jenama baru di Shopee, KFC merekodkan jualan baik dengan jumlah pesanan tertinggi dari kategori makanan dan minuman (F&B) di mana jumlah set makanan KFC dibeli di Shopee cukup untuk menampung seluruh warga Putrajaya.

Malah, carian perkataan KFC mencecah hampir 500,000 pada 11 November.

Pengarah Urusan Serantau Shopee, Ian Ho berkata, tahun ini menyaksikan peningkatan keyakinan pengguna membeli produk bernilai tinggi di platform e-dagang.

“Awal tahun ini, Shopee menyaksikan trend pengguna lebih yakin membeli barangan bernilai tinggi. Ia meningkat pada jualan 11.11 di mana bukan pengguna membuat pembelian telefon pintar kelas rendah dan pertengahan, malah ada yang turut mendapatkan telefon pintar kelas perdana yang rata-rata berharga lebih RM3,000,” katanya.

Menurutnya, tahun ini turut menyaksikan perbezaan dalam segmen pengguna di mana pelanggan lelaki serta mereka yang berusia lebih 50 tahun turut menyertai jualan 11.11.

“Pengguna lelaki lazimnya membeli alatan mudah alih dan peranti, dengan kata kunci seperti power bank, pembesar suara, fon telinga dan iPhone yang dicari lebih 2.9 juta kali.

“Bagi pengguna dalam kalangan mereka yang berusia lebih 50 tahun, carian produk meliputi barangan kesihatan seperti susu tepung dan mesin memeriksa tekanan darah selain barangan keperluan rumah seperti serbuk pencuci baju, cecair pencuci pinggan mangkuk dan pengelap lantai,” katanya.

Sementara itu, Lazada dalam kenyataan berasingan berkata, ia berjaya melepasi rekod jualan 11.11 2018 dalam tempoh 13 jam.

“Kami menjual melebihi sejuta barang pada jam pertama jualan dan menghantar bungkusan pertama kepada pelanggan pada 1:20 pagi 11 November lalu dan ia rekod luar biasa,” katanya. Jualan 11.11 atau Single’s Day dimulakan di China kini menjadi trend di seluruh dunia yang menyaksikan hampir semua jenama mengambil bahagian dengan pelbagai tawaran istimewa.

Alibaba mencatatkan jualan AS$12.01 bilion (RM49.8 bilion) dalam tempoh satu jam pertama tahun ini di mana ia peningkatan hampir 40 peratus berbanding 11 November tahun lalu.

Dalam pada itu, ShopBack Malaysia mendapati 90 peratus daripada jumlah trafik di rantau Asia Tenggara membabitkan transaksi pada aplikasi mudah alih dengan Malaysia mencatatkan kadar sama bagi rantau ini.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 13 November 2019 @ 6:51 AM