KETUA Pemasaran Shopee, Lok Weng Lum (tiga dari kanan) menyampaikan replika cek kepada Farahida (tiga dari kiri) pada majlis pelancaran Shopee 11.11 Big Sale, semalam.
KETUA Pemasaran Shopee, Lok Weng Lum (tiga dari kanan) menyampaikan replika cek kepada Farahida (tiga dari kiri) pada majlis pelancaran Shopee 11.11 Big Sale, semalam.
Sri Ayu Kartika Amri


KUALA LUMPUR: Platform e-dagang nombor satu Malaysia, Shopee mencatatkan peningkatan 100 peratus jualan menerusi kempen Beli Barangan Malaysia dan Brand Festival 10.10 Shopee.

Pengarah Urusan Serantau Shopee, Ian Ho berkata, prestasi itu disokong pembabitan 2,300 unit simpanan stok (SKU) buatan Malaysia pada Brand Festival 10.10 Shopee.

Katanya, Shopee turut merekodkan pertumbuhan 132 peratus bagi tempahan dilakukan sepanjang kempen bulan lalu.

“Kami optimis mencapai pertumbuhan lebih baik sempena 11.11 Big Sale Shopee tahun ini terutama dengan pertambahan bilangan SKU iaitu sebanyak 3,350 unit.

“Setiap kempen jualan 11.11, Shopee menyaksikan peningkatan dari segi jualan dan tempahan.

“Sebagai contoh, kempen 11.11 Shopee pada 2018 merekodkan peningkatan jualan 24 kali ganda berbanding 2016,” katanya selepas melancarkan 11.11 Big Sale Shopee di sini, semalam.

Hadir sama, Pengurus Besar Majlis Kanser Nasional Malaysia (Makna), Farahida Mohd Farid.

Untuk kempen 11.11 ini, Shopee menawarkan pelbagai diskaun dan keistimewaan eksklusif untuk pembeli dalam talian.

Kempen beli-belah ini bakal menjadi acara terbesar platform Shopee dengan pelbagai tawaran termasuk penghantaran percuma untuk perbelanjaan minimum RM11, pulangan tunai harian sehingga 111 peratus dan peluang membeli Toyota Vios dengan hanya RM1 bermula 24 Oktober hingga 11 November 2019.

Ho berkata, Shopee mengambil kesempatan menyeru rakyat Malaysia menyokong perjuangan menentang kanser menerusi kempen kebajikan pertamanya, iaitu #ShopeeMAKNA 11.11 Charity Challenge.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 25 Oktober 2019 @ 6:47 AM