CHANG Kim Wah
CHANG Kim Wah
Nabil Basaruddin

Kuala Lumpur: Eco World Development Group Berhad (EcoWorld Malaysia) melihat kenaikan kadar dasar semalaman (OPR) oleh Bank Negara Malaysia (BNM) tidak akan memberi impak yang signifikan kepada individu yang ingin membeli rumah.

Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulannya Datuk Chang Kim Wah berkata, pihaknya yakin masih terdapat permintaan yang kukuh bagi sektor hartanah khususnya segmen perumahan.

Beliau berkata, sebagai syarikat hartanah yang sedang berkembang maju, pihaknya banyak menjalankan projek di kawasan pinggir bandar namun sentiasa mendapat kadar pengambilan yang tinggi.

“Apa yang penting bagi perniagaan hartanah ialah lokasi yang bertepatan. Projek EcoWorld mempunyai teras penting seperti akses yang cekap, populasi bersesuaian serta dikelilingi sektor perniagaan dan pekerjaan.

“Sebarang peningkatan dalam OPR hanya membabitkan kesan teknikal kerana Malaysia masih mempunyai banyak generasi muda yang mencari rumah untuk dimiliki.

“Jadi, kami sentiasa optimis dengan pasaran serta permintaan dan berani untuk meletakan sasaran jualan yang agresif pada 2018 berjumlah RM3.5 juta dari projek sedia ada,” katanya ketika ditemui selepas majlis pelancaran kempen Tahun Baru Cina di sini, semalam.

Hadir sama Pengerusi EcoWorld, Tan Sri Liew Kee Sin serta Pengarah Eksekutifnya, Datuk Voon Tin Yow dan Liew Tian Xiong.

Kumpulan EcoWorld menyasarkan jualan sehingga RM6 bilion bagi tahun kewangan 2018 yang mana EcoWorld Malaysia dijangka menyumbang RM3.5 bilion manakala RM2.5 bilion oleh EcoWorld International Bhd.

EcoWorld Malaysia mempunyai kira-kira 3,288 hektar bank tanah dengan jumlah nilai pembangunan kasar (GDV) mencecah RM87.5 bilion. Selain itu, ia mempunyai kehadiran di pasaran Lembah Klang, Iskandar Malaysia dan Pulau Pinang dengan keseluruhan 20 projek.

Chang berkata, meskipun 2018 akan menjadi sedikit mencabar bagi segmen hartanah, pihaknya yakin sekiranya syarikat memberi tumpuan kepada segmen yang tepat ia akan memberikan hasil.

“Kami turut memberi fokus kepada segmen perbandaran dan terdapat juga taman perindustrian yang mempunyai permintaan tersendiri.

“Malah, bagi projek yang berada berhampiran jajaran pengangkutan awam seperti Aliran Trasit Massa (MRT), ia memberi nilai tambah yang meningkatkan permintaan bagi hartanah itu,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 3 Februari 2018 @ 12:26 AM