TEOW
TEOW
Sri Ayu Kartika Amri


KUALA LUMPUR: EcoWorld International Bhd berada di landasan tepat mencapai perolehan mampan bagi tahun kewangan 2020 disokong projek yang berjalan lancar di London.

Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutifnya, Datuk Teow Leong Seng berkata, EcoWorld London sudah melancarkan blok kediaman Verdo di Kew Bridge pada Februari lalu dan sehingga kini berjaya menerima kadar tempahan 43 peratus, disokong sambutan menggalakkan daripada pembeli tempatan dan asing.

Katanya, sambutan positif ini turut diterima bagi projek fasa kedua Millbrook Park yang dilancarkan pada Mei lalu.

“Kami merancang mengukuhkan operasi dalam segmen perumahan bina untuk sewa (BtR) di pasaran United Kingdom (UK) dan menjangkakan segmen ini menjadi pemacu utama pertumbuhan EcoWorld International di UK.

“EcoWorld London sudah mengenal pasti beberapa lagi tapak yang berpotensi untuk dibina rumah berkonsepkan BtR bagi pelabur institusi,” katanya pada sidang media di sini.

Menurutnya, bersama dengan beberapa projek lain yang dalam perancangan untuk dilancarkan di bawah portfolio EcoWorld London, pihaknya yakin ia akan menyumbang kepada sasaran jualan kumpulan bagi tahun kewangan 2019 dan 2020.

Beliau berkata, jualan kukuh yang disumbangkan melalui projek EcoWorld London selama tiga bulan ini membuktikan lagi strategi kumpulan menceburi sektor kediaman di London adalah tepat, biarpun Brexit masih berlarutan.

“Kami melihat pasaran terbuka di UK dan Australia akan terus menyumbang kepada EcoWorld International,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 27 Julai 2019 @ 9:00 AM