MOHD Din (dua dari kanan) bertukar-tukar dokumen MoU dengan Sang Hui, semalam.
MOHD Din (dua dari kanan) bertukar-tukar dokumen MoU dengan Sang Hui, semalam.
Bisnes HM

KERJASAMA strategik lima tahun antara Manulife Insurance Bhd (MIB) dan Takaful Ikhlas Family Bhd (Takaful Ikhlas) bakal memperluas kadar penembusan takaful dalam kalangan rakyat Malaysia.

Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Takaful Ikhlas, Mohd Din Merican berkata, usaha sama itu juga adalah sebahagian daripada strategi dalam mengembangkan tenaga agensi selain meneroka pasaran baharu.

Beliau berkata, dalam tempoh itu, pihaknya menyasarkan pertumbuhan premium RM30 juta menerusi perniagaan baharu daripada kerjasama itu.

“Inisiatif ini membolehkan ejen Manulife memasar dan menjual produk Takaful Ikhlas memandangkan permintaan tinggi terhadap produk insurans yang patuh syariah.

“Malah, pada masa sama MIB dapat meneroka pasaran takaful di negara ini di mana setakat ini penembusan perniagaan takaful keluarga antara 1.3 hingga 15.2 peratus sahaja pada 2018.

“Kami dapat memanfaatkan kerjasama ini dalam membantu mengukuhkan penguasaan pasaran berikutan potensi tinggi dalam sektor takaful di samping memanfaatkan ejen MIB,” katanya pada sidang media selepas majlis pemeteraian kerjasama MIB dan Takaful Ikhlas di sini, semalam.

Kerjasama ini akan memfokuskan kepada empat produk Takaful Ikhlas iaitu Ikhlas Preferred Term Takaful dan Ikhlas Savings Prime Takaful untuk simpanan dan perlindungan kesihatan.

Ia juga merangkumi perlindungan untuk kanak-kanak dan pelaburan masa depan melalui Ikhlas Education serta Ikhlas Wanita Elegance, produk perlindungan khusus untuk wanita.

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif MIB, Lee Sang Hui berkata, kerjasama strategik itu dapat menyediakan peluang pertumbuhan besar yang mana ia akan memanfaatkan kedua-dua pihak yang terbabit.

“Tumpuan kami untuk memberikan pelanggan dengan pilihan penuh terhadap produk perlindungan bersesuaian dengan kehendak serta keperluan mereka,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 9 January 2020 @ 6:02 AM