EDDY Azly
EDDY Azly
Oleh Sri Ayu Kartika Amri


TAKAFUL Ikhlas General Berhad, anak syarikat milik penuh MNRB Holdings Berhad memperkenalkan pelan takaful dalam talian iaitu Ikhlas Home Protect Takaful (Ikhlas Home Protect) sempena Minggu Saham Digital (MSD) 2020.

Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Takaful Ikhlas General Berhad, Eddy Azly Abidin berkata, selaras dengan matlamat syarikat untuk menyediakan perkhidmatan yang efisyen, mudah dan pantas kepada orang ramai, pelan perlindungan Ikhlas Home Protect kini boleh didapati secara dalam talian.

"Sebelum ini, Ikhlas Home Protect hanya dipromosikan melalui ejen takaful, kaunter cawangan Takaful Ikhlas serta saluran e-mel Salam Ikhlas.

"Kini pelan perlindungan takaful rumah yang komprehensif ini boleh diakses di hujung jari bagi memudahkan orang ramai mendapatkannya dengan selamat," katanya dalam satu kenyataan.

Ikhlas Home Protect adalah pelan perlindungan komprehensif dan ideal yang memberikan perlindungan lengkap untuk kediaman serta isi rumah daripada kerugian atau kerosakan akibat kebakaran, kilat, petir, kebakaran bawah tanah, letupan dan limpahan tangki air.

Di samping itu, Ikhlas Home Protect juga memberi perlindungan daripada kerugian atau kerosakan akibat banjir pada kediaman dan isi rumah peserta.

Pelan perlindungan ini juga menyediakan manfaat tambahan ke atas bangunan kediaman yang meliputi tunai pendahuluan, bantuan pembiayaan kediaman dan kerosakan kepada cermin kaca serta isi rumah yang merangkumi perlindungan harta di kawasan kediaman, kehilangan wang, kebakaran belukar dan lalang serta kerosakan harta benda akibat pokok tumbang.

Eddy berkata, selain menyediakan perlindungan yang komprehensif untuk kediaman dan isi rumah, Ikhlas Home Protect juga dapat memberi pulangan lebihan, sekiranya tiada tuntutan dibuat terhadap sijil.

Menurutnya, satu lagi keistimewaan Ikhlas Home Protect, peserta juga mendapat manfaat Ikhlas Wakaf & Endowmen (IWE).

Melalui IWE, Takaful Ikhlas akan memperuntukkan RM1,000 di atas nama peserta untuk sumbangan wakaf atau endowmen kepada institusi yang diiktiraf sekiranya berlaku kematian akibat kemalangan.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 24 November 2020 @ 7:01 AM