HAB eWTP Cainiao Aeropolis.
HAB eWTP Cainiao Aeropolis.

MALAYSIA Airports Holdings Bhd (MAHB) menyasarkan untuk menggandakan jumlah penerbangan kargo di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) dalam tempoh 10 tahun akan datang.

Ia dengan bermulanya operasi pusat e-penunaian yang baharu, Hab eWTP Cainiao Aeropolis.

Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan, Datuk Mohd Shukrie Mohd Salleh berkata, dengan pertumbuhan jumlah kargo, pengendali lapangan terbang itu sedang mengkaji sambungan syarikat penerbangan yang lebih baik melalui KLIA dengan laluan baharu serta kekerapan penerbangan dan kapasiti angkut.

"Rakan syarikat penerbangan sedia ada di KLIA akan menikmati hasil perniagaan baharu sementara kami mewujudkan perkongsian sinergistik dengan pemain industri tempatan, contohnya, Pos Aviation, MAB Kargo dan GTR (Ground Team Red) untuk mengintegrasikan kemudahan sedia ada dalam Cainiao Aeropolis, Malaysia.

"Bagi penghantaran batuan terakhir bagi penyelesaian barangan, ia akan dikendalikan oleh GDex, Pos Laju, J&T Express dan lain-lain," katanya dalam kenyataan.

MAHB dan Alibaba Group menyambut baik permulaan operasi Cainiao Aeropolis yang dahulunya dikenali sebagai KLIA Aeropolis DFTZ Park yang juga sebahagian daripada usaha bersama mereka dalam mengukuhkan pemulihan ekonomi Malaysia dan menyokong peningkatan aliran perdagangan di rantau lebih luas.

Menurutnya, pada peringkat permulaan, ini dijangka membantu pengendali e-dagang membuat penghantaran dalam tempoh 24 jam di Malaysia dan seterusnya, penghantaran dalam tempoh masa 72 jam ke seluruh dunia.

"Kami yakin kemudahan baharu ini akan dapat meningkatkan jumlah kargo sebanyak 700,000 tan metrik.

"Kami menyasarkan pasaran menegak daripada sektor automotif, sukan, fesyen dan gaya hidup, elektronik dan sektor peralatan perubatan," katanya.

Hab eWTP Cainiao Aeropolis merangkumi kawasan seluas 24.28 hektar dengan ruang gudang seluas 1.1 juta kaki persegi.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 9 November 2020 @ 7:15 AM