PENGAMBILALIHAN Malaysia Airlines bukan keutamaan kumpulan AirAsia ketika ini.
PENGAMBILALIHAN Malaysia Airlines bukan keutamaan kumpulan AirAsia ketika ini.
Alzahrin Alias


TAN Sri Tony Fernandes enggan terbabit dalam cadangan pengambilalihan Malaysia Airlines Bhd (Malaysia Airlines) meskipun sebelum ini dilaporkan bersedia memulihkan syarikat penerbangan nasional itu.

Pengasas dan Ketua Pegawai Eksekutif AirAsia Group Bhd (AirAsia) itu berkata, tumpuan kumpulan penerbangan itu kini adalah mengembangkan lagi penguasaan digital bagi syarikat penerbangan tambang rendahnya.

Pengambilalihan Malaysia Airlines bukan keutamaan kumpulan ketika ini tetapi mereka menumpukan kepada perniagaan AirAsia, kata beliau.

Fernandes yang menghadiri Persidangan RISE di Hong Kong sebelum ini dipetik akhbar South China Morning Post berkata: “AirAsia ketika ini dalam perjalanan penting ke arah perniagaan digital. AirAsia hanya memberi tumpuan kepada AirAsia.”

Laporan sebelum ini yang memetik sumber rapat syarikat itu menyatakan AirAsia tidak menolak mengambil alih Malaysia Airlines jika diminta berbuat demikian oleh kerajaan.

Sementara itu Fernandes berkata, langkah perkongsian strategik antara Malaysia Airlines dan Singapore Airlines (SIA) secara tidak langsung turut memperbaiki perniagaan operasi AirAsia dan mengalu-alukan langkah dua syarikat penerbangan itu.

Ini kerana katanya, selagi persaingan itu berlaku secara adil, ia turut memberikan manfaat kepada semua pihak termasuk AirAsia.

“Persaingan adalah apa yang membuatkan kita lebih baik. Saya tidak mahu sesiapa atau apa-apa dihalang daripada melakukan perniagaan yang baik,” katanya.

Tun Dr Mahathir Mohamad juga baru-baru ini menyatakan kerajaan menerima empat cadangan bagi pengambilalihan Malaysia Airlines.

Perdana Menteri berkata, cadangan berkenaan masih dikaji dan ketika ini masih belum ada keputusan lagi.

Ramai pihak yang mengaitkan AirAsia adalah salah satu daripada empat pihak yang mengemukakan cadangan pengambilalihan itu selain kumpulan yang diketuai Datuk Pahamin Ab Rajab melalui syarikatnya Najah Air Sdn Bhd.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 10 Julai 2019 @ 6:31 PM