GAMBAR hiasan. FOTO Bloomberg
GAMBAR hiasan. FOTO Bloomberg
Mohd Zaky Zainuddin

Kuala Lumpur: Usaha sama antara Malaysia Airlines Bhd dengan syarikat penerbangan tambang rendah, AirAsia Bhd (AirAsia) tidak akan direalisasikan pada masa ini.

Ketua Pegawai Eksekutif Malaysia Aviation Group (MAG), Kapten Izham Ismail berkata, meskipun dua syarikat itu berdepan detik paling sukar dalam industri penerbangan disebabkan Covid-19, ia bukanlah masa terbaik untuk menjalin kerjasama atau bergabung terutama ketika tempoh mencabar ketika ini.

"Tiada sebarang usaha sama akan dimuktamadkan antara dua entiti penerbangan ini buat masa ini kerana fokus kami untuk kekal berdaya tahan dalam tempoh paling mencabar untuk industri penerbangan.

"Apa yang boleh saya perkatakan, saya harap mereka (AirAsia) dapat keluar dari kesan pandemik. Walaupun AirAsia adalah pesaing kami, kami melihat kepentingan syarikat ini yang menjadi 'enabler' kepada ekonomi negara," katanya pada taklimat media perkembangan terkini perniagaan MAG secara maya, hari ini.

Ketika ditanya mengenai cadangan penggabungan Malaysia Airlines-AirAsia, Izham berkata, tiada sebarang perbincangan dibuat untuk menggabungkan kedua-dua syarikat penerbangan itu ketika ini.

"Saya tidak tahu bagaimana perkara ini kembali mendapat perhatian media," katanya.

April tahun lalu, Menteri Kanan yang juga Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI), Datuk Seri Mohamed Azmin Ali memberi bayangan mengenai kemungkinan penggabungan di antara Malaysia Airlines dan AirAsia.

Penggabungan adalah bagi menyelamatkan syarikat penerbangan nasional itu yang berhadapan dengan krisis kewangan sejak penularan pandemik Covid-19, menyebabkan banyak penerbangannya terpaksa digantung.

Mengulas lanjut, Izham berkata, Malaysia Airlines-AirAsia sukar bergabung memandangkan kedua-dua syarikat memiliki modul perniagaan yang berbeza.

"Pada pendapat saya, ia bukanlah masa yang sesuai untuk penggabungan atau pengambilalihan terutama ketika tempoh yang mencabar pada masa ini dengan persekitaran perniagaan dan ekonomi kurang memberangsangkan akibat pandemik.

"Secara peribadinya, tumpuan kami ketika ini adalah menstruktur semula lembaran imbangan Malaysia Airlines menjadi lebih baik," katanya.

Beliau menjelaskan, pemulihan trafik penerbangan bergantung pada masa ini bergantung kepada pelaksanaan program vaksinasi dan langkah membendung penularan Covid-19.

"Terdapat tiga komponen yang akan menyokong pemulihan perjalanan udara dalam tempoh terdekat. Pertama, program vaksinasi, perubahan dalam operasi dan perkhidmatan serta pelaburan dalam infrastruktur pelancongan utama seperti destinasi popular untuk membangkitkan semula kehadiran pelancong.

"Kedua adalah sempadan negara menjadi aspek mustahak bagi memulakan semula perjalanan antarabangsa selain kerjasama kerajaan dan swasta penting untuk mewujudkan pendekatan dan dasar sesuai termasuk pasport perjalanan bagi menguruskan pergerakan keluar masuk pelancong.

"Ketiga, kerajaan perlu memberi sokongan untuk menghidupkan semula industri perjalanan termasuk membabitkan insentif perjalanan untuk memacu permintaan selepas pintu sempadan dibuka semula," katanya.

  • Lagi berita berkaitan Perintah Kawalan Pergerakan
  • Lagi berita berkaitan Covid-19
  • Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 4 Mei 2021 @ 6:28 PM