PEMANDANGAN Puteri Habour.
PEMANDANGAN Puteri Habour.

UEM Sunrise Berhad (UEM Sunrise) melaksanakan perjanjian induk (HOA) bersama AME Elite Consortium Bhd (AME) bagi penjualan dan pembangunan 72 plot perindustrian pegangan bebas dalam fasa ketiga Perindustrian dan Logistik Selatan (SiLC) di Iskandar Puteri, Johor pada RM434.3 juta.

Penjualan plot perindustrian bersaiz kira-kira 67.9 hektar itu membolehkan AME membangunkan taman perindustrian bersepadu di Iskandar Puteri.

UEM Sunrise menerusi anak syarikat penuhnya, UEM Land Bhd dan anak syarikat milik tidak langsungnya, Nusajaya Heights Sdn Bhd memeterai HOA dengan anak syarikat AME, Pentagon Land Sdn Bhd dan Greenhill SILC Sdn Bhd.

Kerjasama strategik itu dijangka menjana sinergi positif antara UEM Sunrise, pemilik dan pemaju utama Iskandar Puteri di Johor.

Sementara AME, pakar di dalam pembinaan kilang pembuatan khusus yang besar, mereka bentuk dan membina serta membangunkan taman perindustrian.

ANWAR SYAHRIN
ANWAR SYAHRIN

Pengarah Urusan dan Ketua Pegawai Eksekutif UEM Sunrise, Anwar Syahrin Abdul Ajib berkata, pihaknya gembira dengan kehadiran AME dalam pengembangan fasa 3 SiLC, yang telah memperlihatkan kejayaan besar bagi fasa satu dan dua.

Katanya, kerjasama UEM Sunrise dengan AME antara yang dipertimbangkan dengan teliti.

"Melihat prestasi mereka dalam membangun taman industri, kami yakin untuk mencapai hasil yang luar biasa memandangkan syarikat terus maju dengan Pelan Induk Pembangunan Iskandar Puteri," katanya dalam satu kenyataan.

Menerusi penjualan plot itu, syarikat masih akan memiliki lebih 4,560 hektar tanah dengan anggaran nilai pembangunan kasar (GDV) kira-kira RM107 bilion.

PROJEK SiLC mendapat sambutan.
PROJEK SiLC mendapat sambutan.

Antara pemangkin pembangunan di bawah Pelan Induk Pembangunan Iskandar Puteri adalah pembangunan taman perindustrian bersepadu, dan SiLC membentuk komponen bersepadu pelan induk berkenaan.

Walaupun fasa satu dan dua SiLC habis terjual, kerjasama dengan AME untuk fasa 3 dibangunkan menjadi taman perindustrian bersepadu menandakan inisiatif strategik dari sudut pandang syarikat berkenaan kerana kerjasama itu membolehkannya memanfaatkan kepakaran dan rangkaian AME yang luas.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 16 Oktober 2020 @ 6:37 AM