SULAIMAN
SULAIMAN
Nabil Basaruddin

Kuala Lumpur: Kumpulan AmBank dijangka mula menawarkan unit Amanah Saham Bumiputera (ASB) September ini sebagai langkah strategik dalam memperluaskan perkhidmatan dan servis kewangan institusi perbankannya.

Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulannya, Datuk Sulaiman Mohd Tahir berkata, pihaknya kini selesai mengadakan perbincangan dan memuktamadkan perkara terbabit dengan Permodalan Nasional Berhad (PNB).

Beliau berkata, inisiatif dilaksanakan dengan penawaran ASB itu adalah menawarkan unit berkenaan sepenuhnya kepada pelanggan Bumiputera AmBank, selain berharap dapat menarik pelanggan baru.

“Kami kini memberi tumpuan kepada aspek sistem serta pemprosesan dan berharap dapat melancarkannya dalam masa sebulan atau dua bulan akan datang,” katanya pada majlis pelancaran AmBank (M) Bhd (AmBank) sebagai pengedar sah Amanah Hartanah Bumiputera (AHB) di sini, semalam.

AmBank dilantik sebagai pengedar rasmi bagi unit amanah hartanah patuh syariah di mana penganjur dana ialah Pelaburan Hartanah Bumiputera (PHB) dan diuruskan Maybank Asset Management.

Sulaiman berkata, menerusi dua tawaran iaitu ASB dan AHB oleh AmBank, pelabur kini mempunyai pilihan lebih banyak untuk berurusan dengan AmBank, selain berpeluang mempelbagaikan pelaburan mereka.

“Bagi tawaran AHB, kami memperuntukkan 200 juta unit berharga RM1 setiap satu dan yakin ia tawaran berbaloi kepada Bumiputera yang ingin membabitkan diri dalam pelaburan hartanah,” katanya.

Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan PHB Datuk Kamalul Arifin Othman berkata, sejumlah 1.5 bilion unit baru disuntik ke dalam dana itu pada awal tahun ini, sekali gus melonjakkan jumlah keseluruhannya kepada 3.5 bilion unit sejak dilancarkan pada 2010.

“Menerusi pembabitan Maybank dan Ambank sebagai pengedar, kami yakin ia mendapat langganan penuh menjelang akhir tahun ini kerana selepas suntikan tambahan dilakukan, kini hanya tinggal 400 juta unit di pasaran,” katanya.

Katanya, kelebihan seperti memiliki hartanah komersial utama, patuh Syariah serta sentiasa memberi dividen kukuh dan konsisten menjadikan ia terus menarik minat pelabur.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 10 Ogos 2016 @ 7:24 AM