WAN Hashimi ketika Majlis Pelancaran ‘Determine The Outcome’ (DTO) di Subang Jaya. -Foto Syarafiq Abd Samad
WAN Hashimi ketika Majlis Pelancaran ‘Determine The Outcome’ (DTO) di Subang Jaya. -Foto Syarafiq Abd Samad
Oleh Nurhayati Abllah


SIME Darby Property Bhd memperkenalkan inovasi terbaharu, ‘dto’ (determine the outcome) sebagai platform dalam talian yang dibangunkan bagi mentransformasikan pembelian hartanah pada masa depan.

Ketua Pegawai Eksekutifnya, Datuk Wan Hashimi Albakri berkata, pihaknya memperuntukkan dana berjumlah RM3 juta bagi membangunkan platform itu yang juga pertama seumpamanya di Malaysia.

“dto adalah produk terbaharu yang membolehkan pelanggan berpotensi, melaksanakan proses undian bagi konsep pembangunan, rekaan dan kemudahan yang mereka inginkan.

“Platform berkenaan dilaksanakan berdasarkan penciptaan bersama (co-creation) dan penyumberan orang ramai (crowdsourcing) yang dijangka bakal mengubah corak pembelian hartanah pada masa depan,” katanya pada pelancaran platform ‘dto’ di Subang Jaya, hari ini.

Hadir sama, Pengarah Urusan Kumpulan Sime Darby Property, Datuk Seri Amrin Awaluddin.

Wan Hashimi berkata, ‘dto’ memberi penekanan dalam membimbing pelanggan untuk membuat pemilihan kediaman terbaik untuk mereka.

“Pembelian hartanah adalah suatu keputusan pelaburan utama bagi pengguna. Justeru, semua pilihan yang dibuat menerusi platform dto adalah melangkaui proses pemeriksaan dalaman yang ketat sebelum dikemukakan kepada pelanggan,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 18 April 2019 @ 6:58 PM