WAN Hashimi (tengah) ketika majlis pengumuman keputusan kewangan 2019 syarikat, semalam.
WAN Hashimi (tengah) ketika majlis pengumuman keputusan kewangan 2019 syarikat, semalam.
Rosyahaida Abdullah


SIME Darby Property Berhad (Sime Darby Property) menetapkan sasaran jualan RM2.3 bilion tahun ini menyamai sasaran ditetapkan bagi tahun kewangan 2019 berakhir 31 Disember lalu.

Pemangku Ketua Pegawai Eksekutifnya, Datuk Wan Hashimi Albakri berkata, sasaran itu dibuat dengan mengambil kira beberapa faktor termasuk keadaan semasa di dalam negara seperti penularan wabak Covid-19 dan ketidaktentuan politik yang masih belum selesai.

Jelas beliau, biarpun pencapaian jualan memberangsangkan dicatat pada 2019, pihaknya perlu melihat dari segi kesediaan pengguna pada tahun ini untuk membeli produk yang ditawarkan.

“Pada tahun kewangan lalu, kita berjaya mencatatkan angka RM3.1 bilion dari segi jumlah jualan yang menyaksikan peningkatan 35 peratus berbanding sasaran asal.

“Bagaimanapun, pada tahun ini pasaran hartanah dijangka masih perlahan dan mencabar serta isu di dalam negara kebelakangan ini, dalam tempoh sehari, kita kehilangan RM43 bilion dalam pasaran saham.

“Dalam hal ini, kita sedar Malaysia adalah negara yang mempunyai daya tahan cukup tinggi namun untuk pulih juga memerlukan masa.

“Bagi memastikan sasaran dicapai, syarikat akan terus fokus untuk memenuhi permintaan semua segmen pengguna pada tahun ini selain memberi tumpuan kepada mengoptimumkan kos di semua peringkat,” katanya pada sidang media pengumuman keputusan kewangan 2019 syarikat di sini, semalam.

Katanya, pihaknya juga menjangka melancarkan sehingga 20 projek hartanah pada separuh kedua tahun ini.

Dengan nilai pembangunan kasar (GDV) RM2.7 bilion, semua projek terbabit akan dilancar secara berperingkat pada setiap hujung minggu dalam tempoh tiga bulan sebelum akhir tahun ini.

“Selain projek pada harga pertengahan dan tinggi, kita juga memberi tumpuan kepada harga mampu milik antaranya kediaman strata di lokasi strategik di Lembah Klang pada harga sekitar RM300,000 seunit,” katanya.

Dalam perkembangan berkaitan, Wan Hashimi berkata, daripada lebih 8,000 hektar jumlah tanah yang dimiliki Sime Darby Property bernilai RM85.4 bilion ketika ini, kira-kira 5,420 hektar adalah bahagian tanah yang sedang dibangunkan.

“Selebihnya sekitar 2,665 hektar lagi belum dibangunkan. Pada peringkat ini kita belum bercadang menambah tanah yang ada namun kita juga tidak menolak sebarang peluang yang dilihat baik untuk syarikat,” katanya.

Sehingga akhir tahun lalu, Sime Darby Property merekodkan peningkatan dalam keuntungan bersih berjumlah RM598.5 juta dengan sebahagian besar disumbangkan oleh perniagaan utama iaitu pembangunan hartanah dan pulangan “one-off”.

Sebanyak 2,917 unit hartanah dilancar dengan gabungan nilai pembangunan kasar RM2.3 bilion pada tahun sama manakala jualan belum dibilkan berjumlah RM1.6 bilion pada 31 Disember 2019.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 28 Februari 2020 @ 7:10 AM