WAN Hashimi (dua dari kiri) memberi penerangan mengenai model pembangunan kepada Muhyiddin selepas memeterai Memorandum Persefahaman di antara QSR dan Sime Darby Property, semalam.
WAN Hashimi (dua dari kiri) memberi penerangan mengenai model pembangunan kepada Muhyiddin selepas memeterai Memorandum Persefahaman di antara QSR dan Sime Darby Property, semalam.
Badrul Kamal Zakaria


SIME Darby Property Berhad akan mengadakan kerjasama dengan QSR Brands (M) Holdings Berhad untuk membangunkan restoran KFC pandu lalu pertama di Bandar Universiti Pagoh di sini, yang bakal beroperasi pada Jun 2020.

Ia membantu kedua-dua pihak meningkatkan tawaran nilai perbandaran dan pada masa sama memenuhi populasi pelajar yang semakin meningkat.

Ketua Pegawai Operasi (Pembangunan Perbandaran) Sime Darby Property, Datuk Wan Hashimi Albakri berkata, kerjasama itu akan meningkatkan keupayaan Bandar Universiti Pagoh dari segi penyedia perkhidmatan yang pelbagai dan seterusnya memberi kesejahteraan kepada warga universiti serta penduduk di perbandaran itu.

“Ia membuka peluang kepada kami untuk meningkatkan keuntungan korporat melalui pendapatan berulang yang disasarkan sehingga 10 peratus menjelang 2023.

“Kami memilih QSR Brands atas kekuatan jenama dan kredibiliti sebagai penyedia barisan produk berkualiti serta terkenal dalam kalangan pengguna. Daya penarik ini membantu kami menarik orang ramai bertumpu ke bandar universiti dan menjadikannya perbandaran progresif,” katanya pada Majlis Menandatangani Memorandum Perjanjian Persefahaman di antara QSR Brands dan Sime Darby Property di Galeri Jualan Bandar Universiti Pagoh di sini.

Pada majlis itu, Menteri Dalam Negeri yang juga Ahli Parlimen Pagoh, Tan Sri Muhyiddin Yassin dan Menteri Besar, Datuk Dr Sahruddin Jamal menyaksikan majlis menandatangani memorandum yang disempurnakan Wan Hashimi mewakili Sime Darby Property dan QSR Brands oleh Pengarah Urusannya, Datuk Seri Mohamed Azahari Mohamed Kamil.

Hadir sama, Ahli Lembaga Pengarah Sime Darby Property, Datuk Seri Tengku Ahmad Shah Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah dan Presiden serta Ketua Eksekutif Johor Corporation merangkap Pengerusi QSR Brands, Datuk Kamaruzzaman Abu Kassim.

Wan Hashimi berkata, inisiatif itu adalah kerjasama pertama bagi pembangunan kawasan itu dan usaha lain yang dalam perancangan.

Beliau berharap ia mampu menarik aktiviti ekonomi bagi meningkatkan peluang pekerjaan, memacu permintaan terhadap produk kediaman dan komersial.

Mohamed Azahari berkata, pihaknya bangga dapat bekerjasama dengan Sime Darby Property dan berharap ia membantu pihaknya meneroka potensi pasaran di kawasan terbabit.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 27 April 2019 @ 6:01 AM