AmanahRaya giat mempromosikan dan menyarankan untuk membuat perancangan pewarisan lebih awal kepada orang ramai
AmanahRaya giat mempromosikan dan menyarankan untuk membuat perancangan pewarisan lebih awal kepada orang ramai

Sri Ayu Kartika Amri

[email protected]

AMANAH Raya Berhad (AmanahRaya) komited mengambil langkah proaktif bagi meningkatkan kesedaran mengenai perancang pewarisan terutama dalam kalangan wanita.

Ketua Bahagian Pegawai Korporat Kumpulan AmahaRaya, Nik Salina Nik Idris berkata, pada masa ini terdapat 38 peratus daripada pelanggan perancang pewarisan membabitkan golongan wanita.

Katanya, AmanahRaya optimis untuk meningkatkan jumlah itu kepada 50 peratus dalam tempoh tiga tahun lagi.

“Kaum wanita wajib sebenarnya ambil tahu mengenai perancang pewarisan terutama apabila berdepan kematian suami yang bertanggungjawab sebagai pencari nafkah.

“Ini kerana bagi wanita yang berkeluarga, mereka memainkan peranan untuk mengingatkan suami supaya melaksanakan wasiat demi kelangsungan hidup bersama anak terutama apabila membabitkan perihal harta ditinggalkan.

“Kami di AmanahRaya giat mempromosikan dan menyarankan untuk membuat perancangan pewarisan lebih awal kepada orang ramai,” katanya kepada Bisnes Metro, di sini.

Menurutnya, langkah pertama yang perlu diambil adalah isteri harus berbincang dengan suami demi masa depan anak dan perlu melantik badan profesional bagi mengelakkan pertelingkahan keluarga berpanjangan.

“Kami jangkakan masyarakat mengetahui mengenai perkhidmatan AmanahRaya, cuma sikap bertangguh masih menebal dan beranggapan merancang pewarisan ini kurang penting.

“Berbekalkan pengalaman hampir 100 tahun, AmanahRaya menawarkan perkhidmatan wasiat secara profesional dan berperanan penting untuk menjalankan tanggungjawab selaku pemegang amanah supaya ia diagihkan mengikut kemahuan pelanggan selepas ketiadaan mereka,” katanya.

Beliau berkata, AmanahRaya turut mempromosikan Tabung Amanah Khas kepada masyarakat bagi membantu mereka menyalurkan dana terkawal untuk menjalankan aktiviti amal jariah, sumbangan atau derma.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 11 Mac 2019 @ 11:30 AM