PASAR raya besar Giant akan berusaha untuk terus mengekalkan harga barangnya di sebalik pelaksanaan Cukai Jualan dan Perkhidmatan (SST).
PASAR raya besar Giant akan berusaha untuk terus mengekalkan harga barangnya di sebalik pelaksanaan Cukai Jualan dan Perkhidmatan (SST).
Nabil Basaruddin


Kuala Lumpur: GCH Retail (Malaysia) Sdn Bhd (GCH), pengendali pasar raya besar Giant akan berusaha untuk terus mengekalkan harga barangnya di sebalik pelaksanaan Cukai Jualan dan Perkhidmatan (SST) yang bermula pada 1 September ini.

Ketua Pegawai Eksekutif GCH, Pierre-Olivier Deplanck berkata, sebagai pemain industri peruncitan selama 74 tahun di Malaysia, pihaknya sentiasa melindungi pengguna dengan menawarkan pelbagai rangkaian barang yang lebih murah dan berpatutuan.

Beliau berkata, pihaknya antara pemain industri terbesar dalam segmen ini dan akan memastikan sektor runcit akan terus berkembang pesat dan memberi manfaat kepada orang ramai.

“Kami sentiasa menawarkan harga yang kompetitif dalam pasaran dan Giant juga dikenali kerana menyediakan pelbagai pilihan barang yabg menarik dan bernilai kepada pelanggan.

“Malah, baru-baru ini apabila kerajaan menghapuskan Cukai Barang dan Perkhidmatan (GST), hampir 35,000 unit penyimpanan stok (SKU)
di Giant turut menyaksikan penurunan harga.

“Apabila kerajaan mengumumkan dasar mengenai cukai SST ini, kami akan memenuhi dan mengikutinya tanpa menambah sebarang peningkatan sen dan berusaha mengekalkan harga sedia ada,” katanya ketika, semalam.

Selain Giant, GCH turut mengendalikan tiga pasar raya besar daripada segmen premium iaitu Cold Storage, Mercato dan Jasons Food Hall.

Mengulas lanjut mengenai pelaksanaan cukai baru itu, kawalan harga bukan berada di bawah kawalannya, sebaliknya ia perlu diberi perhatian dan kawalan di peringkat pengilang dan pengimport.

Katanya, pihaknya akan cuba sedaya upaya melakukan apa saja dalam meminimumkan sebarang peningkatan harga barang seperti mengelak daripada urus niaga jika ditawarkan harga yang tidak masuk akal daripada pengeluar.

“Misi dan DNA kami adalah menawarkan barang yang murah dan berpatutan di 133 cawangan Giant seluruh negara,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 20 Julai 2018 @ 11:04 AM