KETUA Pegawai Eksekutif Burger King Malaysia, Ng Lee Tieng (kanan) memperkenalkan resipi terbaru Burger King Nasi King di Burger King Wisma 99, Klang.
KETUA Pegawai Eksekutif Burger King Malaysia, Ng Lee Tieng (kanan) memperkenalkan resipi terbaru Burger King Nasi King di Burger King Wisma 99, Klang.
Faliq Lajim

Klang: Burger King Malaysia buat julung kalinya memperkenalkan makanan ruji rakyat iaitu menu berasaskan nasi yang boleh didapati di semua restoran francaisnya mulai Selasa ini.

Menu yang dinamakan Nasi King itu dihidangkan bersama nasi lembut dimasak dengan resipi istimewa, paha ayam BBQ dipanggang dengan api serta dinikmati bersama salad segar.

Ketua Pemasaran Burger King Malaysia, Goh Yin Yin berkata, menu istimewa paha ayam BBQ itu dipanggang dengan sempurna, sekali gus memberikan rasa lembut pada bahagian isi paha ayam yang dihidangkan.

“Menu ini sesuai bagi mereka yang mahu menu sihat dengan hidangan nasi bersama paha ayam BBQ ini antara hidangan yang kali pertama diperkenalkan berbanding pesaing kami,” katanya pada pelancaran menu ‘Nasi King’ Burger King di sini, baru-baru ini.

Beliau berkata, hidangan itu juga boleh didapati dengan hidangan ayam goreng yang dinikmati bersama teh ais limau atau teh hijau panas mengikut cita rasa masing-masing.

“Pelanggan juga boleh membuat pilihan nasi bersama ayam goreng dalam menu Nasi King ini sama ada ayam goreng original atau pedas mengikut citarasa masing-masing,” katanya.

Harga yang ditawarkan bagi Nasi King bersama paha ayam BBQ atau bersama ayam goreng bermula dari RM7.90 bagi ‘ala carte’ dan RM9.50 untuk setiap set bergantung kepada lokasi.

Sementara itu, Burger King melalui rantaian syarikat francaisnya, Cosmo Restaurant Sdn Bhd turut meraikan penghuni Asrama Damai Rumah Anak-Anak Yatim Kuang, Selangor pada majlis sambutan hari raya di restoran Burger King Wisma 99, Klang.

Seramai 40 anak yatim berusia antara tiga hingga 19 tahun yang menghuni rumah kebajikan terbabit diraikan pada majlis itu di mana mereka turut memperoleh sumbangan duit raya dan hamper daripada syarikat francais itu.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 9 Julai 2018 @ 11:53 AM