ABDUL Fattah (tengah) bersama wakil ANGKASA dan IBFIM pada majlis perjanjian, semalam.
ABDUL Fattah (tengah) bersama wakil ANGKASA dan IBFIM pada majlis perjanjian, semalam.
Sofyan Rizal Ishak

Kelana Jaya: MyAngkasa Amanah Berhad (MAAB), syarikat pengurusan amanah, wasiat, hibah dan harta pusaka milik Angkatan Koperasi Kebangsaan Malaysia Bhd (Angkasa) merancang meluaskan saluran pemasaran produknya melalui perbincangan dengan beberapa institusi bank di negara ini.

Presidennya Datuk Abdul Fattah Abdullah berkata, pihaknya dalam perbincangan di peringkat akhir bagi menjalinkan kerjasama dengan institusi perbankan seperti Bank Simpanan Nasional (BSN), Affin Bank, MBSB Bank dan Alliance Bank serta ia bakal dimuktamadkan dalam masa terdekat.

“Kami lihat pertambahan saluran pemasaran ini akan memberi impak positif kepada syarikat bagi mencatatkan keuntungan lebih baik dan memberi kemudahan kepada pelanggan mendapatkan produk daripada MAAB,” katanya pada majlis menandatangani perjanjian antara MAAB dan Institut Kewangan dan Perbankan Islam Malaysia (IBFIM) di sini, semalam.

Sebelum ini, MAAB bekerjasama dengan 20 rakan niaga korporat membabitkan Bank Muamalat, Agro Bank, Bank Persatuan dan syarikat berkaitan kerajaan seperti Felcra, Tekun Nasional, Perbadanan Usahawan Nasional Berhad (PUNB), Pos Malaysia dan koperasi di bawah Angkasa untuk memasarkan produk MAAB di seluruh negara.

Beliau berkata, MAAB optimis mampu mencatatkan prestasi lebih baik pada tahun ini dengan menyasarkan keuntungan selepas cukai RM900,000 berbanding RM718,000 dalam tempoh empat tahun lalu serta berhasrat meningkatkan jumlah pelanggan kepada 70,000 berbanding 60,000 pada masa ini.

Sehingga kini, MAAB berjaya menyimpan lebih daripada 60,000 wasiat dengan anggaran nilai aset yang bakal ditadbir berjumlah RM18 bilion.

Sementara itu, MAAB menjalinkan kerjasama dengan IBFIM untuk melatih 1,500 wakil daripada saluran pemasarannya bertujuan untuk memperkasakan lagi pengetahuan dan kemahiran dalam perundingan kewangan Islam.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 13 April 2018 @ 9:28 AM