KETUA Pegawai Operasi/Transformasi Sime Darby, Datuk Wan Hashimi Albakri (kiri) mendengar taklimat Ketua Pembangunan SJCC Yeoh Wei Ling mengenai Lot 15, semalam.
KETUA Pegawai Operasi/Transformasi Sime Darby, Datuk Wan Hashimi Albakri (kiri) mendengar taklimat Ketua Pembangunan SJCC Yeoh Wei Ling mengenai Lot 15, semalam.
Nabil Basaruddin

Kuala Lumpur: Sime Darby Property melancarkan projek hartanah terbarunya, Lot 15 yang terletak di Pusat Bandar Subang Jaya (SJCC) dengan nilai pembangunan kasar (GDV) RM269.2 juta.

Projek hartanah terbabit adalah apartmen servis yang meliputi dua menara kediaman 20 tingkat dengan jumlah keseluruhan rumah ditawarkan 361 unit termasuk unit runcit tiga tingkat.

Lot 15 dibangunkan di kawasan seluas 0.9 hektar menawarkan unit pegangan bebas bertujuan memenuhi kehendak dan keperluan pembeli rumah pertama dan profesional muda seperti pelabur hartanah.

Pengarah Urusan Sime Darby Property Datuk Seri Amrin Awaluddin berkata, ini adalah masa tepat bagi syarikat memberi sentuhan lebih segar dan baru di Subang Jaya menerusi projek Lot 15 dalam pusat perbandaran urban di SJCC.

“Selepas lebih 40 tahun, Subang Jaya terus mengalami transformasi perbandaran yang luar biasa dengan komuniti mapan menjadi penanda aras kepada pembangunan perbandaran di negara ini,” katanya di sini, semalam.

Lot 15 dijual pada harga bermula dari RM593,888 hingga RM1.1 juta sebelum lima peratus diskaun Bumiputera dan lima peratus rebat jualan dengan kawasan binaan bermula dari 624 kaki persegi hingga 1,001 kaki persegi.

Antara fasiliti disediakan termasuk kolam renang dewasa, jakuzi, kolam renang kanak-kanak, dewan dan dek serbaguna, gimnasium, bilik sauna, kawasan barbeku, taman permainan, bilik solat, bilik tukar pakaian dan bilik air.

Setiap menara menawarkan tiga taman langit dan taman herba dengan permandangan luar biasa di tingkat 30 sesuai bagi sebarang acara bersama keluarga dan rakan.

Selain itu, projek terbabit adalah pembangunan transit menghubungkan pelbagai kemudahan lain seperti Stesen LRT Subang Jaya serta akses mudah kepada lebuh raya utama seperti Lebuhraya Persekutuan, New Pantai Expressway (NPE), Lebuhraya Damansara-Puchong (LDP), Lebuhraya Lembah Klang Baru (NKVE) dan Lebuhraya Shah Alam (KESAS).

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 18 November 2017 @ 12:30 AM