KEDIAMAN Ferrea di Denai Alam.
KEDIAMAN Ferrea di Denai Alam.
Nabil Basaruddin

Kuala Lumpur : Sime Darby Property Berhad (Sime Darby Property) menerusi pelancaran 120 unit pertama rumah dua tingkat jenis Ferrea di Denai Alam mencapai kadar penjualan sehingga 63 peratus bagi rumah berharga RM760,888.

Sementara itu, projek hartanah Liana yang terdiri dari 72 unit rumah dua tingkat super linked yang ditawarkan pada harga RM1.12 juta di Elmina Gardens pula mencapai kadar penjualan 40 peratus.

Pengarah Urusan Sime Darby Property, Datuk Seri Amrin Awaluddin berkata, kedua-dua produk hartanah terbabit terletak di pembangunan perbandaran Elmina yang berada pada lokasi yang strategik.

Beliau berkata, pihaknya sentiasa tampil dengan strategi untuk menawarkan produk bersesuaian pada masa tepat dalam memenuhi permintaan dalam kalangan pembeli.

“Kadar penjualan yang memberangsangkan bagi Ferrea dan Liana membuktikan permintaan tinggi bagi hartanah bertanah di Denai Alam dan Elmina Gardens di Perbandaran Elmina.

“Malah, kami turut sensitif dengan sebarang permintaan daripada pelanggan dan akan terus memenuhi segala keperluan yang boleh kami penuhi dengan peningkatan nilai dalam projek pembangunan hartanah ini,” katanya dalam kenyataan, semalam.

Ferrea antara fasa terakhir Denai Alam yang pernah memenangi anugerah turut menawarkan dua taman poket dan pusat rekreasi bagi aktiviti riadah dan acara manakala Liana di Elmina Gardens menampilkan unit kediaman yang lebih besar dan luas.

Kedua-dua produk hartanah itu berada pada lokasi strategik yang mempunyai akses mudah yang menghubungkan Lebuhraya Koridor Guthrie, NKVE, Lebuhraya Shah Alam, Lebuhraya Elite dan Lebuhraya Dash yang akan siap pada 2020.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 2 Disember 2017 @ 3:28 AM