HM Digital

Eksport memainkan peranan penting dalam ekonomi Malaysia dari segi penjanaan pendapatan, pengwujudan pekerjaan dan peningkatan teknologi serta kemahiran.

Sebagai sebuah negara ekonomi terbuka dengan jumlah perdagangan mewakili 156 peratus daripada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK), Malaysia terus berada dalam kalangan 25 negara pengeksport terbesar di dunia pada 2016.

Selain itu, Malaysia juga berjaya mempelbagaikan produk eksport dan memperluaskan rakan dagangannya selaras dengan perubahan struktur ekonominya.

Ketika ini, komposisi eksport Malaysia sudah beralih secara berperingkat daripada berasaskan komoditi pada 1970-an kepada berasaskan barangan pembuatan.

Kini, destinasi eksport Malaysia lebih pelbagai dengan peningkatan eksport berterusan ke Asia Timur, selain pasaran tradisi seperti Amerika Syarikat, Kesatuan Eropah (EU) dan Jepun.

Dalam usaha meningkatkan lagi prestasi eksport negara, kerajaan sudah mengenal pasti beberapa sektor berpotensi untuk pengeksport tempatan menembusi pasaran baru dan meningkatkan penawaran produk.

Permintaan global untuk produk elektrik dan elektronik (E&E) adalah tinggi dengan nilai import global bagi subsektor E&E terus berkembang padar kadar pertumbuhan tahunan terkumpul (CAGR) 1.4 peratus antara 2012 dan 2016.

Malah di Asia, pertumbuhan yang dicatatkan juga lebih tinggi pada kadar 3.5 peratus. Produk E&E terus menyumbang secara signifikan kepada jumlah eksport Malaysia sebanyak 36.6 peratus pada 2016.

Antara produk eksport E&E utama termasuk semikonduktor, mesin pemprosesan data automatik dan peralatan telekomunikasi.

Pengeksport Malaysia perlu terus meraih peluang untuk kekal relevan dalam segmen strategik ini memandangkan permintaan yang semakin meningkat bagi produk E&E terutama di Asia.

Malaysia juga pengeksport ke-14 terbesar produk farmaseutikal ke Asia berjumlah AS$174 juta pada 2016. Pengeluar farmaseutikal tempatan mematuhi syarat Amalan Pengilangan Baik dan Amalan Makmal Baik sejajar piawaian tempatan serta antarabangsa.

Malaysia juga kini bergerak ke arah pengeluaran ubat biologi, onkologi dan sebatian generik bernilai tinggi selaras dengan permintaan yang semakin meningkat di rantau ini, malah Malaysia juga menerima banyak pengiktirafan dalam bidang farmaseutikal halal selaras dengan peningkatan permintaan global.

Berikutan terdapat peluang luas dalam industri farmaseutikal, penting bagi pengeluar tempatan mewujudkan kerjasama strategik untuk meningkatkan keupayaan penyelidikan, pembangunan, pengkomersialan dan inovasi bagi mempelbagaikan penawaran produk serta memperluaskan akses ke pasaran luar.

Teknologi komunikasi dan maklumat (ICT) adalah satu daripada subsektor yang berkembang pantas di Asia dengan pertumbuhan 12.8 peratus antara 2012 hingga 2016.

Dalam tempoh sama, MSC Malaysia berjaya mencatat pertumbuhan eksport kukuh sebanyak 13.5 peratus. Kandungan kreatif dan teknologi adalah segmen MSC Malaysia yang paling cepat berkembang dengan pertumbuhan sebanyak 26.3 peratus.

Pada akhir Ogos 2017, kluster kandungan kreatif dan teknologi MSC Malaysia meliputi 367 syarikat yang mengkhusus dalam bidang animasi, pembangunan permainan, e-pembelajaran serta kandungan interaktif dan mudah alih.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 28 Oktober 2017 @ 11:37 AM