Mustapa (tengah) pada  taklimat media sektor E&E, semalam.
Mustapa (tengah) pada taklimat media sektor E&E, semalam.
Oleh Hafiz Ithnin

Kuala Lumpur : Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI) optimis prestasi pelaburan sektor elektrik dan elektronik (E&E) terus meningkat kepada RM10 bilion menjelang akhir tahun ini berikutan perkembangan positif ekonomi yang dijangka mencapai pertumbuhan antara 5.5 hingga enam peratus pada 2014.

Sektor (E&E) mencatatkan pelaburan RM8.4 bilion antara Januari hingga Julai 2014 melepasi sasaran awal iaitu RM5.1 bilion bagi keseluruhan tahun ini, selain mencipta 11,326 peluang pekerjaan dalam pelbagai bidang.

Menterinya, Datuk Seri Mustapa Mohamed berkata, pelaburan tahun ini lebih menggalakkan berbanding tahun lalu dan ia petanda baik yang menunjukkan ekonomi Malaysia sedang berkembang.

Beliau berkata, dari segi perdagangan, ia dijangka meningkat antara enam hingga tujuh peratus berbanding 4.7 peratus pada 2013 berikutan unjuran ekonomi global yang memberangsangkan pada keseluruhan tahun ini.

“Barangan E&E yang termasuk di dalam sektor penting eksport iaitu barangan pembuatan mencapai prestasi positif selepas mengalami penurunan pada 2011 serta 2012 masing-masing lima dan 2.5 peratus kemudian meningkat sedikit sebanyak 2.5 peratus pada 2013.

“E&E adalah produk terpenting dalam sektor pembuatan yang mana eksportnya sebanyak 35 peratus daripada jumlah eksport negara dan memainkan peranan penting dalam jaringan ekonomi,” katanya pada taklimat media sektor E&E di sini, semalam.

Terdahulu, beliau menghadiri mesyuarat ke-21 Projek Permulaan (EPP) di bawah Pelan Transformasi Ekonomi (ETP).

Sektor E&E menyumbang kepada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) sebanyak RM23.1 bilion pada suku kedua tahun ini yang mana meningkat 19.1 peratus berbanding tempoh sama tahun sebelumnya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 7 November 2014 @ 5:05 AM