HM Digital

Kuala Lumpur: Jumlah dagangan Malaysia melepasi RM1 trilion bagi tempoh tujuh bulan pertama 2017, peningkatan 22.7 peratus berbanding tempoh sama pada 2016.

Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI) dalam kenyataannya berkata, jumlah dagangan melepasi RM1 trilion dua bulan lebih awal daripada trend biasa.

“Peningkatan dagangan disokong terutamanya oleh dagangan dengan ASEAN, China, Amerika Syarikat, Kesatuan Eropah, Jepun, India dan Taiwan.

“Eksport meningkat 22.3 peratus kepada RM529.68 bilion manakala import menambah 23 peratus kepada RM478.71 bilion, menjadikan lebihan dagangan sebanyak RM50.97 bilion,” katanya.

Bagi bulan Julai, MITI berkata, eksport mengekalkan momentum pertumbuhan yang kukuh, mencatatkan nilai RM78.62 bilion menambah 30.9 peratus berbanding tahun lalu.

“Eksport mencatatkan pertumbuhan tahun ke tahun yang lebih kukuh berbanding import bagi bulan ketiga berturut-turut dengan semua produk eksport utama mencatatkan peningkatan.

“Barangan elektrik dan elektronik (E&E) mengetuai eksport dengan mencatat pertumbuhan dua angka bagi bulan ketujuh berturut-turut diikuti eksport barangan perlombongan,” katanya.

Menurutnya, eksport utama pada Julai 2017 membabitkan barangan E&E bernilai RM27.91 bilion, produk petroleum (RM7.09 bilion), kimia dan produk kimia (RM5.72 bilion), produk minyak kelapa sawit dan berasaskan kelapa sawit (RM4.46 bilion) serta gas asli cecair (RM3.79 bilion).

“Dalam tempoh tujuh bulan pertama 2017, import bernilai RM478.71 bilion atau peningkatan 23 peratus berbanding tempoh yang sama pada 2016.

“Barang pengantara bernilai RM278.71 bilion meningkat sebanyak 25.6 peratus, barangan modal (RM65.78 bilion, meningkat 15.7 peratus) dan barangan penggunaan (RM40.35 bilion, meningkat 5.1 peratus),” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 7 September 2017 @ 2:48 AM