PUVANESAN Subenthiran
PUVANESAN Subenthiran
BERNAMA

Kuala Lumpur: Privasia Technology Berhad (PTB) sedang meninjau perusahaan kecil dan sederhana (PKS) di negara ini untuk menjadi pelanggan sistem e-pemerolehannya.

Ketua Pegawai Eksekutif dan Pengarah Urusan Kumpulannya Puvanesan Subenthiran berkata, sistem e-pemerolehan semasa di negara ini terlalu mahal untuk PKS kerana mereka terpaksa membayar yuran pelesenan dan pelaburan infrastruktur.

“Beberapa syarikat besar perlu melatih pekerja mereka untuk menggunakan sistem ini selama enam bulan.

“Inilah sebabnya kami mengubah struktur harga untuk menawarkan perkhidmatan kepada PKS,” katanya pada taklimat media selepas melancarkan Procurehere Versi 7.0, versi e-pemerolehan terbaru syarikat itu, semalam.

Beliau berkata, sistem e-pemerolehan PTB sebelumnya mempunyai 300 pembekal dan 15 pelanggan, kebanyakannya konglomerat yang terbabit dalam pelbagai sektor seperti logistik, insurans dan pembinaan.

“Kami berharap peningkatan ketelusan, kos dan penjimatan wang yang ditawarkan sistem e-pemerolehan terkini ini akan membantu kami mencapai pangkalan pasaran yang lebih luas,” katanya.

Menurutnya, versi aplikasi mudah alih itu akan diperkenalkan Oktober ini.

Katanya, PTB melancarkan versi pertama Procurehere pada 2002. Procurehere Versi 7.0 iaitu platform dalam talian untuk e-penyumberan dan permintaan oleh pelanggan dengan pilihan setiap peristiwa atau setiap pengguna/pembayaran bulanan.

“Antara manfaatnya, Procurehere Versi 7.0 membolehkan perniagaan mencapai purata 17 peratus penjimatan kos setiap projek atau acara, tanpa syarat untuk infrastruktur IT atau perbelanjaan latihan,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 26 September 2017 @ 3:03 AM