Oleh Syarifah Dayana Syed Bakri

Kuala Lumpur: SME Corp akan mengambil langkah proaktif untuk membantu usahawan perusahaan kecil dan sederhana (PKS) khususnya selepas pengumuman langkah penyelarasan Bajet 2015 oleh Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak, kelmarin.

Ketua Pegawai Eksekutifnya Datuk Hafsah Hashim berkata, langkah penjimatan yang diumumkan kerajaan antara lain menggalakkan pembelian barangan buatan tempatan dan ia secara tidak langsung dapat memacu pertumbuhan sektor PKS tempatan.

“Penyelarasan Bajet 2015 itu disambut baik sektor PKS dan kebanyakan syarikat sudah bersedia menghadapi cabaran yang mungkin timbul.

“Namun, SME Corp akan mengambil langkah lebih proaktif bagi memastikan bantuan yang diperlukan pemain industri dapat disalurkan dengan baik dalam usaha membantu mereka merancakkan aktiviti perniagaan khususnya bagi tujuan eksport,” katanya selepas pelancaran Persidangan Syarikat Permulaan Universiti Malaysia 2015 di sini, semalam.

Beliau berkata demikian ketika mengulas mengenai kesan terhadap pertumbuhan PKS selepas penyelarasan Bajet 2015 yang diumumkan Perdana Menteri, kelmarin.

Menurutnya, dalam keadaan semasa, produk import menjadi lebih mahal dan ia memberi kelebihan kepada produk yang dihasilkan usahawan tempatan.

“Produk tempatan akan menjadi lebih kompetitif dan mereka perlu menyahut cabaran untuk memastikan pengguna memilih barangan buatan tempatan,” katanya.

Hafsah berkata, ketika krisis ekonomi pada 1997 dan 2009, syarikat PKS berjaya mengharungi cabaran yang timbul dan mereka kini bersedia berdepan cabaran baru tahun ini.

“Namun, perlu diingat bahawa kita bukan berada dalam krisis ekonomi dan saya yakin syarikat PKS boleh berdepan cabaran baru dalam perniagaan mereka.

“SME Corp akan memainkan peranan untuk membantu usahawan ini dan menggalakkan mereka mengguna pakai teknik serta taktik baru perniagaan,” katanya.

Dalam pembentangan berkenaan, Perdana Menteri mengumumkan penubuhan Skim Jaminan Sektor Perkhidmatan berjumlah RM5 bilion untuk PKS dalam sektor perkhidmatan dengan pembiayaan maksimum RM5 juta dan 70 peratus jaminan kerajaan selain mengurangkan lagi kos menjalankan perniagaan.

Kerajaan turut memperuntukkan 30 peratus bajet pemerolehan tahunan agensi keajaan dan GLC ke atas barangan dan perkhidmatan kepada pengeluar PKS tempatan serta meningkatkan barangan dan perkhidmatan tempatan dalam pemerolehan kerajaan.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 22 January 2015 @ 8:27 AM