IMPORT juga mencatatkan pertumbuhan dua angka 21.8 peratus kepada RM801.2 bilion.
IMPORT juga mencatatkan pertumbuhan dua angka 21.8 peratus kepada RM801.2 bilion.

Kuala Lumpur: Eksport Malaysia melepasi paras RM1 trilion bagi tempoh Januari hingga Oktober lalu, berkembang 25.0 peratus berbanding tempoh yang sama tahun lalu, menurut Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM).

DOSM menjelaskan ini tempoh terpantas nilai eksport mencecah satu trilion yang pernah direkodkan.

Selaras dengan prestasi eksport, import juga mencatatkan pertumbuhan dua angka 21.8 peratus kepada RM801.2 bilion.

Jumlah dagangan berkembang 23.5 peratus kepada RM1.8 trilion berbanding tempoh sama pada tahun lalu seperti dilaporkan dalam Buletin Perangkaan Perdagangan Luar Negeri Malaysia, Oktober lalu.

Ketua Perangkawan, Datuk Seri Dr Mohd Uzir Mahidin berkata, nilai eksport yang kukuh bagi 10 bulan pertama tahun ini adalah sejajar dengan pemulihan ekonomi global.

"Pembukaan aktiviti ekonomi di lebih banyak negara menandakan permintaan luar yang lebih baik.

"Seiring dengan prestasi cemerlang, eksport pada Oktober lalu mengekalkan momentum pertumbuhan yang stabil dan mengatasi prestasi September lalu dengan satu lagi rekod tertinggi, bernilai RM114.4 bilion, meningkat 25.5 peratus tahun ke tahun," katanya dalam kenyataan bagi mengulas laporan itu di sini, semalam.

Beliau berkata, pertumbuhan itu didorong oleh eksport domestik dan eksport semula.

Eksport domestik berjumlah RM91.3 bilion dan menyumbang 79.8 peratus kepada jumlah eksport, berkembang 23.3 peratus, manakala eksport semula pula mencatatkan RM23.2 bilion, meningkat 34.8 peratus berbanding Oktober tahun lalu, katanya.

Beliau berkata, import meningkat 27.9 peratus kepada RM88.2 bilion dan jumlah dagangan meningkat 26.5 bilion daripada RM160.1 bilion pada Oktober tahun lalu kepada RM202.6 bilion.

Dr Mohd Uzir berkata, lebihan dagangan pada Oktober lalu, dengan nilai RM26.2 bilion menjadikannya lebihan dagangan yang ke-18 bulan berturut-turut sejak Mei tahun lalu.

"Selaras dengan pemulihan dalam aktiviti ekonomi domestik, prestasi bulan ke bulan eksport, import, jumlah dagangan dan lebihan dagangan juga mencatatkan pertumbuhan positif, masing-masing meningkat 3.2 peratus, 4.1 peratus, 3.6 peratus dan 0.5 peratus," katanya.

Beliau berkata, pertumbuhan ini digambarkan melalui 173 daripada 255 kumpulan barangan untuk eksport menunjukkan peningkatan berbanding bulan yang sama tahun sebelumnya manakala bagi import, 158 daripada 258 kumpulan merekodkan pertumbuhan positif.

DOSM juga melaporkan bahawa peningkatan eksport disumbangkan terutama oleh eksport yang lebih tinggi ke China (+RM3.5 bilion), diikuti Indonesia (+RM1.9 bilion), Australia (+RM1.6 bilion), Jepun (+RM1.5 bilion), Amerika Syarikat (+RM1.4 bilion), Turki ( +RM1.4 bilion), Vietnam (+RM1.3 bilion), Kesatuan Eropah (+RM1.3 bilion), India (+RM1.0 bilion) dan Singapura (+RM1.0 bilion).

Sementara itu, China terus menjadi penyumbang utama kepada peningkatan import (+RM4.4 bilion), diikuti Singapura (+RM3.6 bilion), Republik Korea (+RM2.1 bilion), Taiwan (+RM2.1 bilion), Kesatuan Eropah (+RM1.7 bilion), Indonesia (+RM1.6 bilion) dan Amerika Syarikat (+RM1.4 bilion).

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 30 November 2021 @ 7:00 AM