MOHAMED Rafique
MOHAMED Rafique
HM Digital

Kuala Lumpur: Maybank Islamic Bhd menjangka pertumbuhan pembiayaannya mencapai lapan peratus tahun ini, disokong peningkatan sentimen pelanggan dan momentum ekonomi negara.

Angka ini selari jangkaan pertumbuhan pembiayaan industri iaitu lapan peratus tahun ini.

Ketua Pegawai Eksekutifnya Datuk Mohamed Rafique Merican berkata, bank itu menyaksikan permintaan kukuh daripada pelbagai industri termasuk segmen pengguna dan korporat.

“Kami melihat permintaan baik daripada perkhidmatan pengguna bagi perkhidmatan kewangan Islam dan bahagian korporat, kami melihat momentum kukuh bagi membolehkan pembiayaan Islam berkembang pada paras lebih tinggi.

“Kami perlu melihat pertumbuhan menyeluruh dalam industri kerana ada yang berdepan banyak cabaran. Saya rasa bagi pertumbuhan ia mungkin tidak meluas seperti dulu,” katanya di luar acara Bengkel Kerja Media Perbankan dan Kewangan Islam 2.0, di sini, semalam.

Bengkel kerja itu dianjurkan Kelab Akhbar Kebangsaan (NPC) dan Maybank Islamic.

Mohamed Rafique berkata, pertumbuhan kukuh keluaran dalam negara kasar Malaysia yang dicatatkan dalam dua suku pertama tahun ini mencerminkan momentum pertumbuhan bagi pembiayaan.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 6 September 2017 @ 2:54 AM