pusat pengecatan berteknologi tinggi  membolehkan kapasiti pengeluaran HA dipertingkatkan daripada 25,000 kepada 50,000 unit setiap tahun.
pusat pengecatan berteknologi tinggi membolehkan kapasiti pengeluaran HA dipertingkatkan daripada 25,000 kepada 50,000 unit setiap tahun.
myMetro

Kuala Lumpur: HICOM Automotive Manufacturers (Malaysia) Sdn Bhd (HA) melancarkan pusat pengecatan berteknologi tinggi di Pekan, Pahang yang membolehkan kapasiti pengeluaran dipertingkatkan daripada 25,000 kepada 50,000 unit setiap tahun.

Pengarah Urusan Kumpulan DRB-HICOM Berhad (DRB-HICOM) Datuk Seri Syed Faisal Albar berkata, pelancaran pusat itu seiring dengan hasrat syarikat mengukuhkan kedudukannya sebagai antara pusat pemasangan komponen kenderaan terpilih dalam industri automotif serantau.

Menurutnya, kemudahan terbaru itu sebahagian usaha berterusan kumpulan dalam meningkatkan kemampuan syarikat untuk menghadapi evolusi Industri 4.0 yang mengubah landskap industri pembuatan.

“Penambahbaikan konsisten di kilang itu juga menunjukkan komitmen DRB-HICOM untuk bekerjasama dengan kerajaan negeri untuk memastikan pembangunan sosioekonomi yang mampan untuk negeri Pahang,” katanya pada pelancaran pusat pengecatan itu, semalam.

Majlis pelancaran disempurnakan Menteri Besar Pahang Datuk Seri Adnan Yaakob sempena sambutan Aidilfitri. Syarikat itu beroperasi di Pahang selama 30 tahun dan menghasilkan hampir 500,000 kenderaan penumpang dan komersial daripada 20 jenama antarabangsa termasuk C Class, E Class, S Class dan GLC Class, FUSO dan MB Actros di bawah jenama Mercedes-Benz.

Ketua Pegawai Eksekutif HA Ismail Pandak berkata, penambahbaikan itu diyakini mampu meningkatkan kapasiti pengeluaran berlandaskan keupayaan pusat terbabit yang beroperasi sepanjang masa tanpa memerlukan tenaga kerja tinggi.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 18 Julai 2017 @ 3:32 AM