VERSTAPPEN memburu kemenangan sulung di GP China selepas Hamilton muncul juara terakhir di Litar Antarabangsa Shanghai pada 2019. FOTO FB MAX VERSTAPPEN
VERSTAPPEN memburu kemenangan sulung di GP China selepas Hamilton muncul juara terakhir di Litar Antarabangsa Shanghai pada 2019. FOTO FB MAX VERSTAPPEN
Reuters

Shanghai: Formula Satu (F1) kembali ke China buat kali pertama sejak 2019 dan juara dunia, Max Verstappen turut berdepan cabaran baharu di sirkit yang membolehkan Red Bull diwakilinya mengecap kemenangan pertama Grand Prix (GP), 15 tahun lalu.

GP China hujung minggu ini akan menjadi perlumbaan pecut pertama bagi musim ini, selepas hanya sejam sesi latihan bebas pada Jumaat untuk menguji kereta dan penilaian tayar serta pasukan memiliki data simulasi sebagai panduan.

Kali terakhir mereka berlumba di Litar Antarabangsa Shanghai itu menyaksikan kereta menggunakan tayar 13 inci dan permukaan rata berbanding tayar getah Pirelli 18 inci serta aerodinamik yang semakin rendah.

Trek berkenaan jarang digunakan sejak 2019 dan mungkin lebih beralun berbanding sebelumnya.

"Ia akan menjadi minggu yang padat kerana turut membabitkan perlumbaan pecut pertama pada hujung minggu ini." kata Verstappen selepas menang di GP Jepun, yang juga kemenangan ketiga daripada empat GP musim ini.

"Jadi, hanya satu sesi latihan bebas untuk menghadapinya. Saya fikir, ia pasti menarik."

Seperti beberapa pemandu lain, pelumba berusia 26 tahun itu kurang gembira dengan keputusan mengadakan perlumbaan pecut sejak 100 kilometer (km) di China, Sabtu ini, berikutan maklumat terkini yang terhad.

"Lebih baik untuk mengadakan perlumbaan biasa pada hujung minggu di sana.

"Tetapi dari satu lagi sudut, ia akan menambah rencah persaingan dan mungkin itu yang mereka mahu lihat," katanya.

"Jadi, kita lihat apa yang ada dan bakal berlaku di sana. Saya sentiasa gemar memandu di sana, jadi diharapkan kami dapat mengharungi perlumbaan sebaik mungkin dan tidak perlu mengubah banyak perkara pada kereta."

Verstappen muncul juara dunia tiga kali sejak kali terakhir berlumba di China dan jika dia terus muncul juara Ahad ini, pemandu Belanda itu menang separuh daripada semua perlumbaan F1 sejak kali terakhir Shanghai berada dalam kalendar.

Ia bakal menjadi kemenangan pertamanya di China selepas Lewis Hamilton muncul juara sebelum litar berkenaan ditutup berikutan pandemik Covid-19.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 18 April 2024 @ 11:29 AM