VERSTAPPEN meninggalkan podium GP Hungary bersama trofi yang pecah. FOTO AFP
VERSTAPPEN meninggalkan podium GP Hungary bersama trofi yang pecah. FOTO AFP
Reuters

Budapest: Pada ketika Max Verstappen meraikan kemenangan ke-44 dalam kariernya di Grand Prix (GP) Hungary, semalam, ia adalah nombor yang mahu dilepasinya secepat mungkin.

Juara dunia tujuh kali dan pencabar, Lewis Hamilton turut merangkul 44 kejuaraan bersama Mercedes dan dikaitkan dengan jaguh Britain itu.

"Diharapkan, saya tidak kekal dengan 44 gelaran. Ia pasti dahsyat," kata pemandu Red Bull itu pada sidang media selepas perlumbaan.

Jangkaan juara dunia dua kali itu merangkul gelaran ke-45 amat cerah apabila berlumba di GP Belgium, hujung minggu depan dan Verstappen kini merangkul tujuh kemenangan berturut-turut dan sembilan daripada 11 perlumbaan.

Tahun lalu, Verstappen muncul juara di Belgium walaupun bermula di petak ke-14.

Rekod di Formula Satu (F1) adalah kemenangan sembilan perlumbaan berturut-turut yang dilakukan Sebastian Vettel bersama Red Bull pada 2013, sebelum merangkul gelaran keempat dunia.

Red Bull kini mencipta rekod dengan 12 kemenangan berturut-turut iaitu 11 perlumbaan musim ini dan perlumbaan terakhir di Abu Dhabi, musim lalu, dan ia terserlah di Hungary apabila Verstappen mencipta jurang terbesar dalam sukan itu sejak 2021.

"Diharapkan kami terus mengekalkan momentum ini dalam tempoh yang panjang," kata Verstappen yang menyaksikan kemenangan semalam adalah kali ke-24 sejak awal musim lalu.

"Saya fikir, ia hari yang sempurna. Sudah tentu, cukup seronok bekerja dengan keseluruhan pasukan dan merangkul kejayaan seperti ini.

"Saya fikir, orang akan lupa betapa sukarnya untuk menang 12 perlumbaan berturut-turut, sekalipun anda memiliki kereta terpantas," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 24 Julai 2023 @ 9:22 AM