GUANYU yang teruja untuk berlumba di Shanghai, hujung minggu ini, bergambar bersama peminatnya. FOTO AFP
GUANYU yang teruja untuk berlumba di Shanghai, hujung minggu ini, bergambar bersama peminatnya. FOTO AFP
AFP

Shanghai: Formula Satu (F1) kembali ke China buat kali pertama dalam tempoh lima tahun, hujung minggu ini, dengan program padat di Shanghai termasuk perlumbaan pecut pada Sabtu yang menyebabkan tidak semua gembira.

Pendahulu keseluruhan, Max Verstappen dan pemandu Ferrari, Carlos Sainz antara yang meragui tempoh masa latihan di litar dengan permukaan baharu itu dan tidak dipastikan kesesuaian dengan spesifikasi kereta F1.

China menutup sempadan ketika pandemik Covid-19 yang bermakna Litar Antarabangsa Shanghai tidak menganjurkan Grand Prix (GP) sejak April 2019 apabila pemandu Mercedes, Lewis Hamilton memenangi perlumbaan secara satu dua dengan Valtteri Bottas.

Tempoh latihan bebas hanya 60 minit pada pagi Jumaat sebelum kelayakan pecut menyebabkan pemandu bimbang mengenai kurang persediaan.

"Saya fikir, ia tidak bagus," kata juara dunia tiga kali bersama Red Bull, Verstappen selepas F1 memilih China sebagai gelanggang pertama bagi enam acara pecut musim ini.

"Apabila anda sudah lama tidak ke sesuatu trak, anda tidak tahu apa yang bakal dialami dan berlaku," tambah Verstappen yang tidak pernah menang di China.

Terdapat sekurang-kurang satu wajah digemari dan menjadi tumpuan ramai apabila pemandu Sauber, Zhou Guanyu akan berlumba di depan penyokong sendiri buat kali pertama di F1.

Guanyu yang dilahirkan di Shanghai hanya berusia lima tahun dan menjadi penonton ketika perlumbaan sulung GP China pada 2004.

"Saya sangat teruja apabila akhirnya berlumba di tanah air sendiri di Shanghai," kata Guanyu, yang memandu jentera F2 untuk Renault di litar itu pada 2019 sebelum beralih ke F1 pada 2022.

"Menjadi pemandu China pertama memandu jentera F1 di China sangat bermakna buat saya. Saya memenuhi impian peribadi dan ia dirasai bersama keseronokan, bangga dan rasa tanggungjawab."

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 17 April 2024 @ 11:18 AM